Sunday 24 August 2014

Adakah Ini Calon PR Untuk PRK DUN Pengkalan Kubor......!!!???

Pakatan Rakyat (PR) wajar mengambil kesempatan sempena Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor untuk mengukuhkan kerjasama politik di antara PAS, Keadilan dan DAP.PRK kali ini juga penting buat Menteri Besar (MB) Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob atas dua sebab. Pertama, ini adalah PRK pertama di Kelantan setelah beliau menjadi MB menggantikan Datuk Bentara Setia TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kedua, DUN Pengkalan Kubor sendiri berjiran dengan DUN MB iaitu Pasir Pekan. Kedua-duanya terletak di bawah parlimen Tumpat yang diketuai MB selaku Yang Dipertua PAS Tumpat. Sejauh manakah pengaruh MB baru ini dapat membantu PR untuk memenangi semula DUN Pengkalan Kubor? Umum mengetahui yang Kelantan dilanda "krisis yang tak nampak" berikutan gaya pentadbiran MB baru yang dilihat tidak menawarkan apa-apa yang menarik untuk rakyat, di samping isu kedudukan Datuk Husam Musa yang menjadi duri dalam daging bagi PAS Kelantan. DUN Pengkalan Kubor itu sendiri merupakan satu DUN yang menarik. Pemenangnya bersilih ganti antara PAS, UMNO, Berjasa dan Semangat 46 sehinggalah pada tahun PRU 2008 PAS menyerahkan kerusi ini kepada PKR untuk ditandingi. Tetapi DUN ini gagal dimenangi PKR pada PRU 2008 (tewas majoriti 100 undi) dan PKR tewas lagi dengan majoriti yang lebih besar pada PRU 2013 (tewas majoriti 1,736 undi). PRK kali ini akan menyaksikan adakah PAS masih budiman untuk terus menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR untuk ditandingi atau PAS mahu mencuba nasib meletakkan calonnya di situ. Sementelah PKR juga tidak pernah menang di situ, maka tidak salah bagi PAS untuk kembali berpencak setelah kali terakhir menang di Pengkalan Kubor pada PRU 1999. Siapa pun calon PR bagi DUN Pengkalan Kubor, calon itu mestilah winnable yakni boleh menang. Matmerapu menjangka tiada calon lain yang boleh mengisi ciri-ciri boleh menang ini melainkan Ahli Parlimen Tumpat selama empat penggal iaitu Datuk Kamarudin Jaffar. Kamarudin terbukti sangat popular dan sudah 'menjejak kaki' di parlimen Tumpat sejak PRU 1995. Selaku calon BN, beliau tewas tipis di tangan Allahyarham Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood. Namun begitu, setelah menyertai PAS pada tahun 1999, beliau diberi kepercayaan PAS untuk bertanding di parlimen Tumpat dan menang dengan majoriti besar iaitu 10,442 undi. Apabila kerajaan negeri pimpinan PAS dilandai badai pada PRU 2004, beliau tetap kekal menang (walaupun majoriti kurang menjadi 1,820 undi) dan menjadi salah seorang daripada enam ahli parlimen PAS yang terselamat pada penggal itu. Beliau menang lagi pada PRU 2008 dengan majoriti hampir 10 ribu undi dan mengulangi lagi kejayaan yang sama pada PRU 13 apabila menang dengan majoriti 10,624. Dalam keadaan PAS tidak mempunyai apa-apa tawaran 'duniawi' yang menarik untuk diberi kepada rakyat Pengkalan Kubor, ditambah pula dengan lambakan projek segera dan kempen agresif yang akan datang dari segenap jentera kerajaan pusat, Pengkalan Kubor bukanlah medan yang sesuai untuk PAS bereksperimen meletakkan muka baru sebagai calon. Persepsi dingin terhadap kerajaan negeri dan kempen agresif BN dijangka akan dineutralisasikankan dengan populariti Kamarudin, itu pun jika rakyat masih tidak terpengaruh dengan kempen BN. Ramai percaya jika PAS ingin meletakkan Kamarudin sebagai calon PR di Pengkalan Kubor, PKR akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Bukan lagi satu rahsia di Kelantan kebanyakan calon PKR di Kelantan pun adalah calon import dari kalangan pimpinan dan penyokong PAS juga. Adakah PKR akan mengalah kali ini demi memastikan kejayaan bersama untuk PR? Kejayaan PAS merampas Pengkalan Kubor dilihat adalah penting untuk mengukuhkan mandat kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Yakob. Jika Pesuruhjaya PAS Kelantan gagal untuk menawan kerusi DUN di dalam kawasan yang beliau sendiri menjadi Yang Di Pertuanya, implikasinya amatlah serius dan PAS Kelantan wajar bermuhasabah menyemak kembali gaya pentadbiran mereka di Kelantan.

No comments:

Post a Comment