Wednesday 20 August 2014

#PRK Pengkalan Kubor: Medan Uji Kerjasama PR..........!!!

Pilihan Raya Kecil Pangkalan Kubor akan menguji keakraban kerjasam tiga parti dalam Pakatan Rakyat. Selepas berjaya melepasi krisis Menteri Besar Selangor yang hampir memecahbelahkan Pakatan Rakyat, PRK Pengkalan Kubor akan datang bakal menjadi medan menguji komitmen gabungan pembangkang untuk terus kekal bersama. PRK itu juga akan menjadi tanda aras kekuatan PAS Kelantan di bawah pimpinan Pesuruhjaya dan Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Yaakob, selepas persaraan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. PRK yang akan berlaku susulan kematian ADUN Pengkalan Kubor yang juga ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar di China. Susulan itu, SPR perlu mengadakan PRK untuk kawasan itu dalam masa 60 hari. Apa yang signifikan dalam politik Kelantan adalah kerana kerusi DUN N.1 Pengkalan Kubor ini agak unik kerana ketika wakil PKR diserahkan sebagai calon pilihan raya dalam dua PRU lalu, jawatan Penyelia DUN kawasan ini disandang oleh wakil PAS. "Maka PRK ini adalah penanda aras kepada keutuhan perhubungan PAS dan PKR di Kelantan,". Berdasarkan keputusan empat PRU sebelum ini, dapat dilihat prestasi PAS/PKR agak menurun di kerusi ini setelah menang PRU pada 1999. Bermula dengan kemenangan Wan Husain Wan Ahmad dengan majoriti 2,432 undi calon PAS dalam PRU 1999, diikuti kekalahan dengan majoriti 714 undi calon PAS yang menyandang kerusi itu pada PRU 2004. Calon PKR Hasan Ibrahim berjaya membaiki keputusan itu apabila mengalami kekalahan dengan majoriti 100 undi pada PRU 2008. Namun, calon PKR kalah lebih besar dalam PRU13 apabila calonnya Saharun Ibrahim kalah lagi kepada Noor Zahidi dengan majoriti 1,736 undi di samping calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya mendapat 65 undi. Kekalahan dengan majoriti 1,736 undi dalam PRU 2013 menjadikan kerusi N.1 Pengkalan Kubor kelihatan agak sukar untuk direbut kembali oleh PR daripada tangan BN. "Bagaimanapun, hampir tiada perkara yang mustahil untuk berlaku dalam dunia politik, apatah lagi sekiranya tidak timbul sebarang pertikaian di antara PAS dan PKR mengenai siapakah di antara mereka yang lebih berhak untuk diletakkan sebagai calon mewakili PR di kerusi ini. "Dan juga siapakah di antara mereka yang mampu menonjolkan tokoh lebih berwibawa bagi memaksimakan potensi kemenangan di kerusi ini,". Kali terakhir PAS memenangi kerusi ini ialah pada PRU 1999 ketika orang Melayu beralih kepada PAS ekoran tragedi mata lebam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Calon PAS ketika itu Wan Husain Wan Ahmad mengalahkan calon BN Mat Nawawi Mat Jusoh dengan majoriti 2,432 undi. PAS dan PKR baru sahaja menyelesaikan perbezaannya dalam memilih calon Menteri Besar Selangor yang baharu apabila PKR memutuskan untuk menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Walaupun selesai, cakap-cakap di belakang masih tajam antara PAS dan PKR.

No comments:

Post a Comment