Thursday, 10 July 2014
Kerusi Naib Presiden PKR: Rafizi Tagih Undi Dua Cabang......!!!???
Tidak dapat menerima hakikat hanya kekalahan yang akan dikecapinya, calon Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli berterusan cuba menegakkan benang yang basah bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan dia kalah dalam pemilihan kali ini. Walaupun keputusan tidak rasmi setakat 28 Jun dikeluarkan, Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR yakin jumlah undi dari dua lagi cabang yang bakal menjalani pemilihan semula 10 Ogos depan akan dapat mengubah nasibnya dan keputusan akan memihak kepadanya. Rafizi juga melihat bahawa kedudukan beliau yang kini terkeluar dari senarai empat teratas Naib Presiden boleh berubah. Beliau yang berada di kedudukan kelima hanya mendapat 17,460 undi berada di belakang Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar dengan lebihan 126 undi (17,587). “Kita tunggu semua keputusan termasuk pemilihan di dua cabang itu selesai dahulu". “Terlalu awal untuk menyebut atau membuat kesimpulan mengenai siapa menang dan kalah kerana dua cabang itu mempunyai pengundi yang ramai,” katanya. Dua cabang yang akan menjalani pemilihan semula ialah Kelana Jaya dan Puchong yang dijadualkan berlangsung pada 10 Ogos seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
Rafizi yang merupakan Ahli Parlimen PKR Pandan itu mengharapkan keajaiban berlaku dengan mempertaruhkan dua cabang tersebut bagi memintas kedudukan untuk berada di senarai empat teratas calon jawatan itu. Setakat keputusan yang disiarkan di laman web rasmi PKR, pertandingan jawatan itu didahului oleh Nurul Izzah Anwar (22,031) dan Tian Chua (20,480). Diikuti tempat ketiga dipegang selesa oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dengan 18,777 undi. Pemilihan yang sudah berlangsung selama tiga bulan dijangka akan berakhir menjelang Kongres Nasional PKR yang akan diadakan pada 22 hingga 24 Ogos akan datang. Difahamkan, keputusan rasmi Pemilihan PKR 2014 akan diumumkan dalam kongres tersebut. Negara India yang mempunyai 810 juta pengundi hanya memerlukan 5 minggu untuk mengumumkan keputusan rasmi. Manakala Indonesia pula yang mempunyai kepadatan penduduk 190 juta memerlukan sebulan untuk mengumumkan keputusan pemilihannnya. Malah Malaysia yang terdiri daripada 13 juta pengundi hanya perlu sehari sahaja untuk umum keputusan rasmi. Tapi PKR yang hanya mempunyai 500 ribu pengundi pula dari bulan Mei sehingga sekarang masih tidak tahu bilakah ia akan berakhir. Sama-samalah semua tunggu keputusan yang penuh kontroversi ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment