Tuesday, 17 June 2014

PRK Teluk Intan: Kenapa DAP Kalah.......!!!

PRK Teluk Intan yang berakhirpada 31 Mei 2014 agak menarik untuk dikaji secara sepintas lalu apakah faktor yang menyebabkan DAP tidak mampu mengekalkan rekod kemenangannya sejak tahun 2008. PRU12, DAP menang mengalahkan calon BN dengan majoriti 1,470 manakala PRU13 menang dengan majoriti 7,313 undi dan PRK Teluk Intan, DAP kalah dengan majoriti 238 undi. Kekalahan DAP wajar dianalisis secara menyeluruh kerana sebagai parti yang mempertahankan kemenangan sepatutnya tidak akan berlaku sekiranya tidak berlaku masalah dalaman. Selepas PRU12, DAP mengalami krisis keyakinan kerana terus dilihat hanya mementingkan kedudukan dua keluarga utama, iaitu keluarga Lim Kit Siang dan Karpal Singh di mana berlaku beberapa penyingkiran wakil rakyat yang pernah memberikan kemenangan sebelum ini. Teluk Intan tidak terkecuali apabila PRU13 menyingkirkan penyandangnya, M Manogaran untuk digantikan dengan Seah Leong Peng. Bagaimanapun Seah Leong Peng tidak dapat menghabiskan penggal kemenangannya apabila meninggal dunia akibat kanser pada 1 Mei 2014. Pada PRK lalu, DAP mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud, seorang peguam Melayu anak seorang aktivis UMNO, berkelulusan undang-undang dari sebuah universiti khusus untuk Bumiputera dan belum pun cukup dua tahun sebagai setiausaha politik kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang. Peralihan dari calon India kepada calon keturunan Cina membawa kemenangan besar sedangkan dengan gadis Melayu, DAP tewas dengan majoriti kecil 238 undi. Ini bermakna, dalam kawasan majoriti pengundi keturunan Cina (42 peratus), DAP tidak sepatutnya meletakkan calon Melayu walaupun pada pandangan beberapa orang pemimpin parti ia satu langkah permulaan menarik. Dyana Sofya yang bertanding dengan tokoh veteran Gerakan yang kini adalah Presiden Gerakan adalah sesuatu yang perlu diperhitungkan semasak-masaknya disebabkan tokoh itu mempunyai kekuatan. Datuk Mah Siew Keong adalah penyandang selama dua penggal dan merupakan anak tempatan yang dikenali ramai berbanding Dyana Sofya berasal dari Ipoh,Perak yang dianggap sebagai “orang asing” di kalangan pengundi Teluk Intan. PRK lalu merupakan percubaan ketiga Datuk Mah selepas tewas kepada calon DAP dalam PRU12. Kali ini, Datuk Mah berhasil kerana calon DAP hanya popular sekelip mata atas kempen persepsi sebagai calon yang cantik, masih muda, profesional tetapi tidak banyak menyoroti pengalaman politiknya sehingga layak dipilih sebagai wakil rakyat. Akibatnya, jumlah pengundi yang keluar mengundi hanya mencapai 66.4 peratus, satu peratusan yang mengejutkan kerana DAP mengharapkan ke tahap 80 peratus bagi membolehkan Dyana mencapai kemenangan besar. DAP menyalahkan pengundi luar yang tidak pulang ke Teluk Intan mengundi tanpa melihat apakah kemungkinannya. Pengundi luar tidak pulang mengundi kerana bagi mereka, kemenangan DAP tidak akan memberikan apa-apa kesan positif kecualilah kekal seperti biasa sejak parti itu menang dalam PRU12. DAP tidak melakukan apa-apa penambahbaikan kemudahan rakyat, hanya berjanji dan memanjangkan persoalan tersebut untuk diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab. Fenomena itu adalah suatu pengalaman biasa dalam mana-mana kawasan yang dimenangi oleh DAP kerana tanggungjawab wakil rakyat mereka tidak dilakukan sepenuhnya, hanya sekadar memenuhi suara berpolitik. Banyak contoh bagaimana wakil rakyat DAP hanya sibuk ketika menjelang pilihan raya manakala ketika selepas pilihan raya, mereka masih meneruskan kerjaya profesionalnya sama ada sebagai peguam, peniaga mahupun kerjaya lamanya yang tidak memerlukan peletakan jawatan. Itulah sebabnya kawasan yang diwakili oleh DAP tidak kenali dengan mesra dan lebih dekat dengan wakil rakyat, hanya tahu menyebut namanya. Tetapi, dalam masa yang sama, wakil rakyat DAP terus mempertontonkan dirinya sebagai “hero” bila ada perlawanan dengan pihak berkuasa akibat pelanggaran undang-undang. DAP bertindak sebagai jaguh pejuang masyarakat kecil apabila pihak berkuasa berusaha untuk memindahkan mereka kerana menduduki tanah kerajaan ataupun pihak sawsta dan tanah tersebut akan dibangunkan menerusi pelbagai projek. Kekalahan DAP di Teluk Intan juga ada kaitannya dengan pemboikotan sebahagian pengundi dan sebab itulah peratusannya adalah rendah. Pengundi melihat bahawa DAP sebenarnya sebuah pari politik yang menghadkan proses pembuatan keputusan dalam kalangan beberapa orang, termasuk ketika mencalonkan Dyana Sofya. DAP Perak tidak bersetuju, tetapi atas kehendak Lim Kit Siang, mereka terpaksa menerima dan secara diam-diam menghantar isyarat protes. Bentuk kempen DAP juga dilihat kurang berkesan dalam mempengaruhi keputusan memilih walaupun berbangga dengan kehadiran ramai khalayak misalnya, perhimpunan malam terakhir sebelum mengundi. DAP amat seronok kerana dihadiri oleh lebih 10,000 orang, walhal kehadiran itu hanyalah suatu bentuk sokongan luaran, bukannya sokongan yang mendokong kemenangan. DAP tertipu dengan petunjuk tersebut kerana unsur syok sendiri terus menyelubungi minda juru kempen pakatan pembangkang termasuk PAS sendiri. PAS berusaha mendiamkan diri daripada mengulas mengenai hukum hudud kerana bimbang DAP akan menyalahkan parti itu seandainya Dyana Sofya tewas. Tanpa bercakap mengenai hudud, PAS sebenarnya tidak jujur dengan perjuangannya sendiri, dan itu juga menjadi salah satu faktor kekalahan DAP kerana lebih ramai orang Melayu tidak percayakan PAS lagi. Kempen yang membabitkan Penasihat Umum PKR juga menyumbang kepada kekalahan DAP apabila Anwar menghina masyarakat Cina yang mengundi BN. Masyarakat Cina yang mengundi BN “bodoh” dan dengan kebodohan itulah akhirnya dikatakan jumlah undi yang dimilik DAP berkurangan begitu ketara, melebihi 9,000 berbanding apa yang diraih oleh mendiang Seah dalam PRU13. Anwar juga tidak lagi mempunyai imej terbaik kerana sering berdolak-dalik dengan tabiat buruknya sendiri, termasuk gemar menyalahkan sistem yang tidak menyebelahi keinginannya. Dalam masa yang sama, jika keputusan menyebelahi kepentingannya, ia dilihat sebagai satu keputusan yang adil manakala bertentangan ia dianggap suatu kesengajaan untuk menamatkan karier politiknya. Imej Anwar dikatakan sampai ke peringkat menurun berbanding ketika pembebasannya pada tahun 2008 sehingga beliau menang dengan majoriti besar dalam PRK Permatang Pauh. Eksploitasi kecantikan Dyana Sofya dilihat agak keterlaluan sehingga menimbulkan fobia dalam kalangan pihak-pihak tertentu kerana kecantikan seringkali dianggap sebagai punca malapetaka dan menjadikan pemiliknya ego. Tambahan pula Dyana masih belum berkeluarga menyebabkan dirinya amat mudah dimanipulasi sehingga ada penulis menggambarkan beliau sebagai “barang baik” yang terlaris di pasaran. Kelarisan itu menyebabkan beliau cukup popular sebagai ikon baharu dalam politik Malaysia walhal ia adalah sekadar hiasan semata-mata. Apa yang disifatkan oleh bekas Perdana Menteri bahawa Dyana hanyalah “window cosmetic” amat benar dalam konteks politik Teluk Intan apabila begitu ramai yang cuba bergambar dengannya. Hakikatnya, Dyana sering mengelak pertanyaan wartawan mengenai beberapa soalan yang kritikal dan dalam keadaan yang lain, Lim Kit Siang sentiasa membantu melakukan spinning. Situasi ini dengan bijaknya berjaya dieksploitasi oleh BN sebagai satu bentuk politik boneka. Jika Dyana menang, beliau akan terus dikawal oleh supremo DAP, kerana kematangannya masih belum cukup untuk menepis persepsi.Dyana turut terperangkap dengan keinginan DAP dalam perjuangan untuk menolak institusi Melayu sehingga beliau mengulang pernyataan agar proses kemasukan ke UiTM turut diberikan kepada bukan Bumiputera. Atas desakan itu Dyana terus didakwa sebagai “kacang lupakan kulit” dan mengkhianati perjuangan politik Melayu, lupa bahawa menerusi perjuangan itulah dirinya berpeluang ke menara gading. Situasi yang sama pernah dibawa oleh pakatan pembangkang ketika mula mentadbir Selangor sehingga menyebabkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap tewas mempertahankan hujahnya. Pengalaman sedemikian tidak digunakan oleh Dyana, sebaliknya terus memperlihatkan dirinya amat mudah lentur dalam permainan politik DAP, yang lembut gigi daripada lidah. Apabila pengguna media sosial mula mempersoalkan hubungan ibunya, Yammy Samat dengan PERKASA, Dyana dilihat tidak konsisten dan akhirnya masuk ke perangkap pembohongan. Akibatnya, Dyana terus dicap sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan orang yang tidak boleh dipercayai tidak wajar memimpin atau diiktiraf sebagai wakil rakyat. Dengan gambaran kempen DAP hanya tertumpu ke kawasan majoriti pengundi Cina, kegagalan penembusan ke kawasan majoriti penduduk Melayu menjadikan Dyana sukar diterima walaupun jangkaan awal mampu mempengaruhi pengundi Melayu. Orang Melayu tetap tidak boleh menerima DAP kerana sehingga kini masih belum terbukti parti itu menghargai jasa orang Melayu yang menyertainya. Beberapa contoh menarik mengenai kedudukan pemimpin Melayu dalam DAP, setelah melihat kedudukan pemimpin itu berpengaruh, maka berlakulah proses penyingkiran secara halus. Pemilihan CEC yang penuh kontroversi memberikan sikap sedemikian dengan begitu jelas, kerana tidak seorang pun pemimpin Melayu terpilih pada peringkat awal sehingga memaksa Lim Guan Eng mengakui ada kesilapan pengiraan—computer glitch. Masyarakat melihat kejadian itu sebagai suatu bentuk perancangan Lim Guan Eng untuk memujuk orang Melayu, maka diberitahu bahawa Zairil Khir Johari berada dalam senarai. Ia sesuatu yang amat memalukan kerana kalau bukan berkedudukan sebagai setiausaha politik Lim Guan Eng, tentunya tidak ada lagi yang boleh dikaitkan dengan Melayu. Pemilihan semula hanya sekadar mengulangi keputusan sebelumnya, walaupun pemilihan itu masih boleh disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan, Lim Guan Eng terus membuat keputusan. Setiap keputusan atas nama parti menyebabkan Lim Guan Eng dipertikaikan manakala semakin ramai ahli DAP mula berani memaparkan beberapa kelemahan kepimpinan secara terbuka. Usaha DAP menyorok kelemahan dilihat semakin gagal kerana lebih ramai yang berani mempertikaikannya selagi prinsip demokrasi tidak diamalkan secara meluas dan menyeluruh. Lim Guan Eng tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung kerana masih ramai lagi pemimpinnya perlu dibabitkan. Keputusan PRK Teluk Intan jelas membuktikan bahawa politik “arrogant” tidak mendapat tempat sebaliknya politik berhemah menuai kejayaan. Ia memberikan petunjuk bahawa adab berpolitik itu amat penting, terutamanya ketika berlangsungnya PRK. Moral kemenangan DAP di Bukit Gelugor tidak memberikan pengaruh bagi membantu kemenangan di Teluk Intan walaupun moodnya masih hangat dan terasa, kerana “arroganisme” itu tidak sesuai dalam pertandingan yang membabitkan perbezaan etnik pengundi tidak begitu besar. Antara pengundi Cina dan Melayu hanya sekadar 4 peratus ia tentunya memberikan kelebihan kepada pengundi India (19 peratus) sebagai faktor penentu. Mood pengundi India berbeza dalam PRK Teluk Intan kerana ia melihat sebagai suatu penghinaan apabila DAP menyingkirkan M Manogaran. Ia ditambah dengan keceluparan seorang wakil rakyat DAP yang mengecam UMNO sebagai Celaka, dan hingga kini, ADUN Seri Delima, Pulau Pinang, RN Rayer belum membuat permohonan maaf. Tuduhan ini benar-benar menyebabkan orang Melayu semakin tidak percayakan DAP, maka DAP perlulah membersihkan “kekotoran” tersebut dengan kaedah tertentu, termasuk mengenakan tindakan disiplin terhadap RN Rayer. Selagi ianya tidak dibersihkan, DAP selamanya bukanlah parti yang benar-benar melambangkan kesaksamaan antara etnik, ia hanyalah perjuangan untuk memastikan dua keluarga yang menguasai parti terus kekal. Politik mempunyai kaitan dengan perasaan, kerana DAP gagal menjadikan emosi sebagai satu bentuk kecerdasan berpolitik, maka itulah sebabnya kecantikan Dyana gagal memancing pengundi, hanya sekadar menang sorak kampong tergadai. Kecantikan Dyana tidak cukup meyakinkan, untuk memasuki semula sebagai calon wakil rakyat, beliau perlu lebih kerap mengunjungi “salon” untuk “membersihkan muka” dan belajar bagaimana berkomunikasi dengan berkesan, meyakinkan setiap orang yang ditemuinya, di samping perlu bijak dalam penampilan diri bukan hanya sekadar tempelan semata-mata.

No comments:

Post a Comment