Thursday, 19 June 2014

Pelbagai Masalah Dalam Pemilihan PKR 2014.......!!!

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2014 dianggap banyak pihak sebagai berdepan dengan pelbagai masalah termasuk wujud arahan dan pemberian wang bagi memastikan kemenangan calon-calon yang bertanding jawatan tertentu. Perkara itu dinyatakan bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faizal Effendi Hasim yang mendedahkan kekecohan yang timbul termasuk semangat perkauman yang menebal oleh ahli semasa pemilihan parti itu bukan satu perkara baharu. "Pada pemilihan PKR pada 2010, seluruh negara dikejutkan dengan semangat perkauman yang menebal oleh kaum masing-masing. Melayu akan membawa seberapa ramai penyokong bagi mengundi calon Melayu, begitu juga dengan ahli kaum Cina dan India," katanya dalam satu kenyataan. Faizal Effendi berkata, kejadian itu sebenarnya membuktikan serangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap UMNO kononnya parti itu mengamalkan sikap perkauman memakan diri sendiri. "Saya tidak nampak PKR ini parti berbilang kaum sebagaimana disebut Anwar dan konco-konconya". "Pada pemilihan 2007 lagi, terbukti (wujud semangat perkauman) apabila ahli PKR Melayu menolak calon India dan Cina sehingga Anwar terpaksa meminta Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail melantik seorang Cina dan India untuk jawatan Naib Presiden," katanya. Bukan itu sahaja, Faizal Effendi berkata, pemilihan PKR juga menyaksikan kekecohan apabila ahli parti memprotes kerana mendakwa ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) kesemuanya konco-konco Timbalan Presiden, Azmin Ali. "JPP sekarang ini bersih kononnya tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tetapi umum mengetahui bayang Azmin sentiasa ada. Pemilihan kali ini rata-rata bermasalah. Kes di Pulau Pinang misalnya, ada beberapa cabang terpaksa dibatalkan kerana campur tangan orang kanan Anwar. Perkara ini harus disiasat," katanya.

No comments:

Post a Comment