Thursday, 19 June 2014
Muhyiddin Tidak Letak Jawatan.......!!!
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai Timbalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selagi khidmatnya diperlukan.
"Setakat hari ini, tak ada apa-apa pun perkara yang dibangkit melibatkan kedudukan saya," kata beliau.
Semalam, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan UMNO.
Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan.
"Rombakan Kabinet adalah hak Perdana Menteri. Kemungkinan akan berlaku sebab beliau dah nyatakan akan bawa masuk beberapa pemimpin parti politik dari MCA dan Gerakan," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Majlis Sains Asia Ke-14 di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata khabar angin itu mungkin timbul berikutan hubungan baik beliau dalam kerajaan khususnya dengan Perdana Menteri, selain tidak menolak ekploitasi sesetengah pihak terhadap kedudukan kerajaan yang bertambah kukuh selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas.
"Kedudukan saya terserah kepada beliau (perdana menteri), tapi selama masa saya berada dalam Kabinet, beliau dah biasa berbincang dengan saya,"katanya.
Menurutnya hubungan baik antara beliau dan Perdana Menteri juga membolehkan apa-apa perbincangan dilakukan dari hati ke hati.
"Kalau ada apa-apa berkaitan masa depan saya pun, saya akan bincang dengan Perdana Menteri juga," katanya.
Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan semua pihak mengenai pentingnya kestabilan parti dan kerajaan yang akan menjurus kepada kestabilan negara.
"Kestabilan negara bergantung kepada keupayaan kita untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh, dan apa juga spekulasi tidak boleh membawa kesan buruk kepada mana-mana pihak.
"Bagi saya keutuhan kerajaan dan kekukuhan UMNO dan BN itu yang utama. Jangan mereka salah baca, kononnya boleh berjaya cetuskan keadaan tidak menentu untuk eksploitasi keadaan," katanya.
Justeru, Muhyiddin meminta semua pihak khususnya anggota UMNO dan BN untuk memahami tujuan sebenar di sebalik khabar angin yang ditimbulkan itu.
"Mungkin sebab sengaja nak timbulkan spekulasi supaya wujud satu keadaan ketidakstabilan atau pertembungan puak-puak dalam parti atau kerajaan saya dengan sesiapa yang lain supaya boleh menangguk di air keruh dan dapat faedah daripadanya," katanya.
Beliau juga yakin anggota parti yang mahir dan bijak membaca keadaan politik negara tidak akan mudah dipengaruhi khabar angin yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment