Thursday, 19 June 2014

Bernafaskah Demokrasi Di Dunia Internet......???

Membaca komentar Pengarah Hal Ehwal Politik Allianz SE, Katinka Barysch mengenai kebuntuan dunia internet untuk menyediakan lapangan demokrasi yang sihat kepada penggunanya begitu membuka minda untuk berfikir sejenak. Bagi mereka yang optimis, internet merupakan jalur kepada mereka untuk menyuarakan hasrat nurani dan membebaskan mereka dari sebarang cengkaman pihak pemerintah, ujar Katinka, wajar untuk mengkoreksi semula optimisme mereka. Sebelum kita melompat jauh ke dalam perbincangan ini, lagi elok untuk kita memahami konteks dunia internet di Malaysia. Menurut laporan yang dikeluarkan pada tahun 2012 oleh International Telecommunication Union (ITU), Malaysia menduduki tangga keempat dari 180 buah negara dalam peratusan jumlah penduduk yang menggunakan internet dari keseluruhan populasi, iaitu 13.4%. Angka penduduk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan populasi pada tahun 2010 berjumlah 28.3 juta orang. Jika ditimbang secara kasar, kira-kira 4 juta rakyat Malaysia mempunyai sambungan internet, tidak kira sama ada melalui telefon bimbit, WiFi di rumah dan sebagainya. Empat juta merupakan angka yang besar untuk negara ini, maka tidak hairanlah laporan mengatakan Malaysia berada di tangga keempat dunia bagi penggunaan digital. Jika disukat mengikut sisi tesis ini, sewajarnya Malaysia jauh lebih terkehadapan dari sudut kematangan demokrasinya, sejajar dengan terbukanya minda rakyat Malaysia terhadap dunia maklumat dan kebebasan untuk bersuara yang lebih dijamin oleh Facebook berbanding media cetak. Itu pun jika kita melihat dari sudut optimisnya mereka yang mengharapkan internet menawarkan sesuatu yang tiada di dunia luar. Namun benarkah begitu realitinya ketika ini? Freedom House – sebuah badan bebas yang menjalankan kajian mengenai kebebasan internet dan media – melaporkan, Malaysia masih dikategorikan sebagai negara separa bebas bagi penggunaan internet. Kita memuji langkah kerajaan yang mahukan rakyatnya terdedah dengan dunia internet, tetapi itu tidak bermakna mereka mahu rakyat negara ini terdedah dengan maklumat. Internet merupakan alat, jika internet kerjanya sekadar untuk permainan atas talian maka akan lahirnya sekumpulan manusia yang diikat tengkuknya dengan rantai oleh tuan mereka. Kadang kala ada yang terbuai dengan keupayaan internet untuk menumbangkan rejim, mengambil contoh Tunisia apabila Mohamed Bouazizi membakar dirinya yang tidak tahan dengan kerenah birokrasi dan rasuah dalam kalangan polis di bandarnya, yang akhirnya mencetuskan sebuah revolusi menggulingkan rejim Zine El Abidine Ben Ali pada tahun 2011. Berita Bouazizi disebarkan secara viral oleh Facebook dan Twitter, mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat yang sudah sekian lama tertindas. Begitulah juga yang tertulis dalam sejarah pada semua kebangkitan yang berlaku di Tanah Arab, termasuklah juga di Brazil, Sepanyol dan malah baru-baru ini di Ukraine. Tidak dinafikan itulah sumbangan internet pada nilai harga diri manusia yang bebas, yang mahukan suara mereka didengari, menjadikan internet wadah utama. Di internet juga, segala penyusunan strategi mobilasi rakyat dilakukan. Di internet juga, didedahkan segala dokumen rasuah dan maklumat hasil salah guna kuasa oleh pihak pemerintah. Tidak dinafikan itu semua. Namun begitu, menjengah 2014, internet bukan lagi begitu sifatnya. Kerajaan pemerintah bijak, sebagaimana bijaknya rakyat mereka memanfaatkan internet untuk menjatuhkan mereka. Tahun lepas Edward Snowden menjadi buruan pihak Amerika apabila beliau mendedahkan rancangan pihak Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) melalui program rahsia mereka yang disebut sebagai PRISM, sebuah program pemantauan global – mereka memantau melalui jaringan internet – yang akan menginjak segala ruang privasi setiap individu dan kerajaan dengan mudahnya mengutip segala maklumat peribadi tanpa kebenaran tuan miliknya. Jika kita membicarakan hal ini dari sudut hak asasi manusia dan kebebasan individu, sudah tentu perbahasannya akan menjadi panjang lebar. Itu satu contoh yang jelas untuk pembaca menilai konteks perbincangan mengenai demokrasi dalam dunia internet. Kisah di Amerika menjadi ikutan banyak negara, tidak mustahil Malaysia turut merancang, atau sudah pun ada program sedemikian untuk mengawal dan menghadkan pengaruh kebangkitan melalui saluran internet. Contoh di Ukraine sekarang, mereka tidaklah menyekat internet tetapi mengupah sekumpulan tentera atas talian yang tugas mereka semata-mata untuk mengacau sebarang perbincangan mengenai isu semasa di forum-forum atas talian. Ini tetap juga dinamakan strategi kerajaan untuk mengawal internet. Sebetulnya perlu disebut, kerajaan cuba untuk mengawal demokrasi daripada diulang latih oleh rakyat mereka. Jangan dilupakan, kita di Malaysia punya Akta Hasutan, juga tugasnya untuk mengawal rakyat bersuara menggunakan saluran internet. Itu soal kerajaan yang menyekat, pada satu sisi. Jika dibuat pemerhatian mendalam lagi, hakikatnya rakyat sendiri, secara tidak langsung yang cuba membunuh demokrasi dalam dunia internet. Mengambil contoh ruangan komen di setiap portal berita tempatan, umpamanya Malaysiakini, satu persoalan tuntas yang akan terpacul ialah, ke mana semua perbincangan yang bersifat sebegini mahu dibawa? Terdapat sekelompok besar pengguna internet di Malaysia menunjukkan obsesi yang ketara dalam hal kepolitikan. Secara rambang, bagus bunyinya, namun setakat mana bagusnya itu, kita tidak menemui jawapan dalam segala komentar Facebook dan forum dan ulasan-ulasan mengenai politik di Malaysia. Mari kita jengah demografi di Twitter pula. Sekitar Februari 2014, Malaysia mempunyai kira-kira 3.5 juta pengguna Twitter, dan hampir sejuta yang berstatus aktif. Sesiapa yang sering mengikuti bahagian topik yang menjadi trending dalam kalangan pengguna di Malaysia, jarang sekali isu kenegaraan mendapat tempat sepuluh teratas. Hakikatnya, seperti yang diakui ramai ini bukanlah masalah yang dihadapi oleh Malaysia berseorangan. Negara lain juga begitu. Jika awal tahun 2011, internet seolah-olah satu senjata baru untuk menjatuhkan rejim, kini tahun 2014 internet menunjukkan penggunanya makin lesu tidak bermaya. Begitu banyak forum di Facebook, yang tujuan asalnya diwujudkan untuk membincangkan soal kenegaraan, akhirnya bertukar menjadi pusat pengiklanan insurans dan kereta terpakai. Kesan terburuk yang boleh dilihat, rupa dunia internet sebegini cuma akan mengundang rasa meluat dalam kalangan ramai pengguna dan akhirnya, mereka mengambil jalan mudah untuk bersikap tidak mengambil tahu langsung. Dan akhirnya, inilah nasib demokrasi dalam dunia internet. Sepatutnya, demokrasi fungsinya menganjurkan satu medan yang memberi peluang kepada semua untuk bersuara secara sihat, membebaskan manusia dari cengkaman pemerintah di dunia luar, namun, dek keceluparan kelompok obsesi – atau ekstrem – tidak dinafikan membunuh demokrasi yang sepatutnya hidup subur. Jika kita memberi harapan pada internet semata-mata untuk membina persekitaran politik yang lebih baik, lebih baik lupakan hasrat tersebut. Optimis adalah sifat yang terpuji, namun jika ekstrem optimisnya pada keupayaan internet untuk membina sesuatu kepada negara ini, ada sesuatu yang tidak kena dalam pemahaman kita. Dunia internet juga tidak lain adalah sama sebenarnya dengan dunia luar internet. Perlu diinsafi, tiada kebebasan mutlak, dalam atau luar dunia internet. Manusia hidup di dunia luar perlu dikawal, tidak dapat tidak dunia internet juga memerlukan kawalan sebegitu, yang padanya memberi maksud, demokrasi di dunia internet harus mekar sebagaimana berkehendaknya kita pada kemekaran demokrasi di dunia luar. Politik yang sihat tidak wujud dengan bersungguhnya kita memuatnaik status mengenai peletakan jawatan Mat Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Demokrasi tidak akan subur dengan hanya berkongsi video isteri pemimpin menari dangdut di majlis hari raya. Mengeksploitasi gambar-gambar pemimpin sebagai bahan jenaka tidak akan mampu menumbangkan sebuah rejim. Bersikap berkecuali dan menyalahkan pihak lain tidak berkesudahan juga tidak akan mengubah apa-apa landskap politik negara ini. Hakikatnya, jika para pengguna internet sekadar pada paras begini cara mereka bersikap ketika berada dalam dunia internet, tidak hairanlah mengapa hampir setiap hari topik trending di Twitter hanya seputar sambutan hari lahir penyanyi K-Pop. Menjawab persoalan perbincangan ini, Katinka berpendapat, tidak dapat tidak gerakan politik yang begitu mahukan medan demokrasi yang segar, harus sedar bahawa pembinaan kepolitikan itu tidak boleh mengharapkan internet semata-mata, dan menuntut agar kerajaan membebaskan internet dari kawalan itu merupakan angan-angan Mat Jenin. Mereka harus lebih realistik, bagi Katinka, dengan turun menyertai protes-protes jalanan, berkempen untuk peningkatan jumlah keahlian dalam parti politik dan memainkan peranan masing-masing untuk meningkatkan lagi peratusan keluar mengundi setiap kali pilihan raya. Hanya dengan cara demikian, menggabungkan dunia internet dan strategi traditional, barulah cita-cita untuk melihat demokrasi terus bernyawa dalam dunia internet termakbul, bahkan di dunia luar. Demikianlah, untuk berpolitik itu, tidak cukup hanya di Facebook. Politik masih perlu menginjakkan tapak kakinya di tanah jua.

No comments:

Post a Comment