Monday 2 December 2013

19 Rayuan Petisyen Pilihan Raya Belum Selesai........!!!

Mahkamah Persekutuan memberi masa hingga 12 Dis untuk BN dan parti pembangkang memutuskan sama ada mereka mencapai penyelesaian berhubung 19 rayuan petisyen pilihan raya. Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga anggota terdiri daripada hakim-hakim Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Seri Abu Samah Nordin berkata jika pihak-pihak berkenaan tidak mencapai penyelesaian, mahkamah akan mendengar rayuan pada hari tersebut. Terdahulu, peguam R.Sivarasa yang mewakili petisyen PKR memberitahu mahkamah bahawa belum ada penyelesaian dicapai tetapi pihak-pihak terlibat mencapai beberapa kemajuan dalam hal itu. “Parti-parti berkenaan juga memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan penyelesaian,” kata beliau. Peguam BN, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata mereka optimistik penyelsaian akan dicapai. Mahkamah pada mulanya menetapkan 2 Dis 2013 bagi pengurusan kes untuk parti-parti terlibat menyampaikan maklumat kemas kini tentang penyelesaian berhubung 19 petisyen pilihan raya itu dari seluruh negara. Rayuan itu antara lain melibatkan kawasan parlimen Machang, Ketereh, Batu, Lembah Pantai, Bagan Datoh, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Titiwangsa, sementara kawasan negeri ialah Selising, Selama dan Manong. Semua petisyen itu ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya dengan kos berikutan bantahan awal atas sebab tidak mematuhi Peraturan 9 dan Peraturan 34 Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954. Pemohon merayu ke Mahkamah Persekutuan untuk memulihkan kembali petisyen mereka dan membawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya bagi penentuan merit, menerusi perbicaraan penuh.

No comments:

Post a Comment