Sunday, 4 May 2014

#Pemilihan PKR: Kecoh Kerana Wujud Unsur Penipuan.......!!!

Mengundi dalam bilik hotel bajet, ahli dihalang mengundi, ahli tidak diberitahu lokasi baru pembuangan undi dan ahli dimaklumkan tarikh pengundian di Cabang tertentu ditangguhkan. Itulah antara runggutan ahli PKR sepanjang dua hari pengundian bermula melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Melaka dan Johor. Dalam pengundian itu, yang dikatakan melibatkan kira-kira 150,000 ahli di lima negeri berkenaan namun hanya 40 hingga 50 peratus keluar mengundi, manakala selebihnya berhadapan dengan empat masalah berkenaan. Seorang Ketua Ranting di sebuah Cabang di Kelantan mendedahkan, proses pengundian penggal ini tidak berubah seperti berlaku sebelumnya, apabila pihak tertentu, yang dikatakan calon berpengaruh cuba 'bermain kotor'.Ketua itu, yang enggan namanya disiarkan berkata, beberapa jam sebelum ahli Ranting hendak keluar mengundi, mereka dimaklumkan tarikh pengundian di Cabang itu terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dinyatakan. Tetapi, katanya, pada masa sama, ahli Ranting lain di Cabang berkenaan yang menyokong calon tertentu dibenarkan keluar mengundi dan tempat pembuangan undi itu diadakan di sebuah hotel murah. "Saya sendiri dimaklumkan oleh seseorang, hari mengundi bagi Cabang dan negeri itu ditangguhkan. Saya berasa pelik kerana tidak dimaklumkan secara rasmi oleh pengerusi PKR negeri"."Was-was dengan makluman itu, saya cuba mengintip dengan mengekori beberapa ahli yang dikenali sebagai penyokong tegar calon tertentu dan mendapati mereka memasuki sebuah hotel murah". "Ahli ini diberikan sekeping kertas undi dan memanggah calon mereka," katanya. Di Kuantan pula, seorang ahli Mohd Shukri Mohd Ramli dihalang daripada mengundi kerana keahliannya dikatakan telah terbatal berikutan bertindak menjadi calon Bebas pada PRU13 Mei tahun lalu. Beliau yang bertanding kerusi DUN Semambu, dikatakan sudah sampai di pusat mengundi pada pagi Sabtu lalu, tetapi dihalang oleh Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh. "Saya masih ahli PKR. Tidak ada pemecatan keahlian dibuat ke atas saya oleh Jawatankuasa Disiplin Parti, dengan itu saya ahli yang sah dan layak mengundi, tetapi calon Naib Presiden (Fuziah) menyekat saya daripada masuk ke pusat mengundi," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai masalah itu dan menganggapnya sebagai spekulasi yang tidak boleh diberi perhatian. Katanya, semua pemilihan atau pengundian di lima negeri termasuk dua hari di Sarawak berjalan lancar dan mengikut jadual. "Jika ada masalah, ahli boleh menyalurkan aduan secara terus kepada JPP untuk kita teliti dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya. Hari pengundian seterusnya ialah Kedah, Perlis, Sabah pada 3 Mei, diikuti Sabah untuk hari kedua, Perak dan Pulau Pinang (4 Mei), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (10 Mei) dan Selangor (11 Mei).

Mukhriz Bimbang Wujud Kem Latihan Pro-Militan Di Kedah......!!!

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir meluahkan rasa bimbangnya berhubung dakwaan bahawa seorang ustaz dari Baling terlibat berperang di pihak Mujahiddin untuk menumpaskan kerajaan Syria. Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Mukhriz menegaskan bahawa beliau tidak faham rasional pemikiran mereka yang terlibat di dalam perjuangan yang kononnya "jihad" yang dikatakan tidak selari dengan konsep agama Islam."Saya tidak berapa faham, apa yang mereka fikirkan sehingga sanggup menggadaikan nyawa untuk tujuan tidak berapa jelas,” katanya. Selain itu, Menteri Besar itu menyatakan rasa risaunya mengenai kononnya wujud kem yang dibina khas di negeri Kedah bagi tujuan membuat latihan ketenteraan secara rahsia dan menimbulkan rasa tidak selamat di sekitar negeri itu. Justeru itu, beliau menggesa agar umat Islam supaya bijak membandingkan antara konsep jihad sebenar yang dituntut dalam Islam dengan aktiviti militan supaya ia tidak mensia-siakan nyawa mereka.

#PRK Bukit Gelugor: BN Perlu Tanding - Tun M

BN perlu bertanding pada PRK kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang walaupun peluang untuk menang tipis, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, soal turun bertanding perlu menjadi keutamaan, bukan faktor menang atau kalah."Di PRK Sungai Limau (Kedah) lepas macam itu juga, ramai yang kata BN tidak perlu letak calon sebab PAS tetap akan menang, tetapi BN tetap bertanding". "Soal utama adalah pertandingan untuk menunjukkan sekurang-kurangnya ada orang yang tidak bersetuju walaupun kalah," katanya selepas melancarkan buku 'Saya, SPR dan Pilihan Raya' tulisan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Kuala Lumpur. Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas pandangan beberapa pihak yang menyifatkan BN pasti tewas pada PRK Bukit Gelugor, dan oleh itu tidak perlu meletakkan calon. Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP pada 17 April lalu akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 2013, Karpal menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon MCA, Teh Beng Yeam. SPR menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian PRK Bukit Gelugor dengan penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal dijadualkan pada 21 Mei

#PRK Teluk Intan: Bukan Misi Mustahil Buat BN.......!!!

Sebaik bergelar Presiden Gerakan berikutan pengunduran diri Dr.Koh Tsu Koon, tokoh yang diperhatikan iaitu Datuk Mah Siew Keong berdepan dengan ujian paling getir dalam karier politiknya. Beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda parti (2002-2008) serta menjawat jawatan Timbalan Menteri sebelum 2008 terpaksa membuat keputusan bertanding dalam PRK Parlimen Teluk Intan atau sebaliknya. Apa sekalipun keputusannya ia berkaitan dengan kedudukan di dalam kabinet jika beliau terpilih sebagai ahli parlimen. Lebih mudah bagi Perdana Menteri DS Najib Razak memilihnya dalam rombakan kabinet.Lagipun Mah kini Presiden Gerakan yang secara “wajib” perlu berada dalam kerajaan.Tempoh Mah memikirkan semasak-masaknya persoalan ini semakin singkat menjelang pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya mengenai tarikh PRK ini. Selain sebagai anak tempatan, Mah sejak 1999 merupakan calon BN di kawasan ini. Jika beliau mengalah bererti beliau terpaksa memberikan jawapan kepada penyokongnya tentang keputusannya itu. Ujian yang mendepaninya kini mula dibahaskan secara tertutup serta turut menjadi hiasan tulisan di dalam media berbahasa Cina. Kebanyakan merasakan Mah bakal diumumkan BN pusat sebagai calonnya. Mah bukanlah tidak pernah bertanding di kawasan ini tetapi waktu itu beliau bukanlah presiden parti seperti sekarang. Kekalahan sewaktu memegang jawatan Presiden Parti Gerakan boleh memudarkan imej parti itu di peringkat nasional. Kita ingin imbas kembali komennya sebaik memenangi jawatan presiden parti itu menewaskan pencabarnya,Teng Chan Yeow (1,086-577 undi).Mah berkata dia mempunyai rancangan mengembalikan kegemilangan Parti Gerakan.”"The responsibility of a president is not easy and I understand there are a lot of challenges, however I believe that all the members in the party will come together in bringing the party to a better position"."Even Teng Chang Yeow, who contested against me, will be given a position as a central committee member". Mah juga bercakap tentang golongan muda dalam parti:"We will also look into bringing in more involvement from younger members in the party". Parti Gerakan ditubuhkan pada 1968 merupakan serpihan dari MCA muncul parti paling berpengaruh di Pulau Pinang di era Dr. Lim Chong Eu. Malang sekali pengaruhnya tidak kekal apabila jawatan Presiden berada di dalam tangan Koh Tsu Koon. Dalam pilihanraya 2008, rakyat Pulau Pinang menolak Koh, BN dan Gerakan.Mereka memilih DAP sebagai pengganti. Kekalahan ini merupakan sejarah paling pahit buat Parti Gerakan serta tidak nampak sebarang tanda parti itu akan bangun dan ulangi kejayaan semula. Kini sebagai presiden baru parti itu, Mah berpeluang dan berazam membawa parti itu kembali gemilang seperti di era yang lampau. Tetapi sebelum itu banyak ranjau perlu dilalui termasuklah soal PRK Teluk Intan. Sebabnya mudah—Jika Mah menjadi calon BN dan tewas sekali lagi maka bukan saja karier politiknya melalui saat-saat merosot, imej Parti Gerakan sebagai sebuah parti multi-racial, ikut terjejas. Silap hari bulan parti itu akan berkubur di Teluk Intan seperti mana terkuburnya pengaruh Parti Gerakan sewaktu ia dipimpin oleh anak emas Chong Eu, Koh Tsu Koon. Parti Gerakan akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua minggu lagi bagi membincang perkembangan di Teluk Intan. Dua agenda penting bakal tersenarai sama ada parti itu bersetuju meletakan calon mewakili BN serta siapakah calonnya. Mah dipetik berkata "kami belum membuat keputusan mengenai perkara itu (bertanding) memandangkan penyandang kerusi, ahli parlimen DAP Seah Leong Peng baru meninggal dunia". Mah mula mengambil jalan selamat dengan tidak bergesa-gesa memberikan ulasan. Ia memerlukan masa untuk membuat keputusan setelah mengadakan perbincangan di peringkat parti dan BN Pusat. Namun demikian walaupun ia dilihat “up hill battle” buat calon BN (dari Gerakan) tetapi ini tidak bererti peluang BN untuk menang langsung tidak ada. BN perlu ada “winning formula” sebelum turun sebagai “underdog” di dalam PRK Teluk Intan kelak. Seperti diketahui umum Teluk Intan merupakan sebuah bandar penting di negeri Perak di akhir tahun 1800. Penduduknya yang multi-racial merupakan masyarakat bandar yang “simple minded.” Mereka bukan macam Cina Penang ataupun pengundi di Bukit Bintang. Kalau mereka dilihat sebagai “anti establishment” ia difahami kerana penduduk di kawasan ini sangat berhati-hati dalam memilih wakil mereka. Ini kerana mereka mahukan wakil rakyat yang pro aktif jauh sekali sebagai pak turut. Rakyat sudah jemu melihat wakil-wakil rakyat yang tidak ada idealisme sebaik memegang jawatan berbanding masa mula-mula dipilih. Justeru boleh dikatakan kemenangan BN di kawasan ini adalah berasaskan faktor calon. Pada pilihanraya 1974, BN yang meletakan Au How Cheong merangkul kemenangan besar. Au kekal sebagai ahli parlimen selama tiga penggal serta dilantik Setiausaha Parlimen pada penggal terakhir. Pada 2004 iaitu PRU ke 11, Mah dipilih sebagai calon mewakili BN dan memenanginya. Beliau memperoleh 18,665 undi mengalahkan,.Gobalakrishnan (PKR), 6,128 dan Wu Him Ven (DAP), 8,829 undi. Undi majoriti Mah ialah 9,836. Dalam pilihanraya sebelum ini (1999) Mah menang dengan undi majoriti, 2,783. Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya dalam pilihanraya pada 2008, apabila tewas pada Seah. Mendiang Seah pula merupakan calon berpengaruh di Pasir Bedamar, selama tiga penggal berturut-turut. Pada pilihanraya 1999, beliau mengekalkan kerusi ini mengalahkan calon BN, Lee Heng dengan majority 3,391.Seah peroleh 11,050 berbanding calon BN, 7,659 undi. Seah mula dipilih sebagai wakil rakyat Pasir Bedamar dalam pilihanraya sebelumnya apabila menang dengan mendapat 5,038 undi majoriti. Peluang BN di Changkat Jong jauh lebih cerah. Sejarah memperlihatkan DUN ini dimonopoli calon-calon UMNO yang mewakili BN kecuali pada 2008 apabila Idris Hashim tewas kepada Anuar Sudin, dengan majoriti 899. Dalam pilihanraya 2004 dan 1999, calon BN iaitu Onn Hamzah memenangi kerusi DUN Changkat Jong. Untuk rekod 60% adalah pengundi Melayu berbanding 13% Cina dan 27%,India. Dalam pilihanraya 2004, Onn memperolehi 3,611 undi majoriti;sebelum ini majoriti Onn sebanyak 1,802 undi. Jelas sekali perbandingan yang dibuat itu menunjukkan peluang BN masih cerah jika beberapa faktor diambil kira seperti faktor pemilihan calon. Berasaskan trend pengundian lampau, pengundi India sebagai faktor penentu kemenangan calon-calon yang bertanding. Pengundi India menyumbang 19 % berbanding pengundi Cina, 42% dan Melayu, 39% di peringkat parlimen. PKR yang meletakan calon India di Teluk Intan pada 2004 hanya berjaya memungut 6,128 undi berbanding, calon DAP, 8,829. Ketika itu BN menang dengan sokongan dari 18,665 pengundi. Ketiga-tiga kaum menyumbang kepada kemenangan BN ketika itu. Pada 2008, berlaku pertandingan dua penjuru apabila PKR bersetuju dengan kompromi membiar calon DAP (India) bertanding menentang calon BN. Seperti diduga, DAP yang meletakan calon India, M.Manogaran yang mewakili parti itu muncul pemenang dengan memperoleh 18,486 undi berbanding calon BN (Mah),17,016. Majoriti calon DAP hanya 1,470. Keputusan pilihanraya berikut memperlihat calon DAP berbangsa Cina mendapat undi jauh lebih banyak. Untuk rekod dalam pilihanraya itu selain pengundi India, PAS berjaya menyakinkan penyokongnya mengundi calon DAP. Pada pilihanraya 2013, mendiang Seah Leong Peng yang dipindahkan dari DUN Pasir Bedamar ke parlimen Teluk Intan menang dengan mendapat majoriti sebanyak 7,313 undi mengalahkan calon BN iaitu Mah Siew Keong. Sebagai calon “incumbent” Mah gagal mengekalkan sokongan pengundi Cina dan India seperti sebelumnya. Justeru bagi pemerhati politik jika BN meletakkan calon India peluang mereka untuk membuat satu “upset” jauh lebih cerah. Ini berdasarkan jumlah undi yang disumbang oleh pengundi Melayu dan India sebanyak 56%. Sebagai contoh jika 10% pengundi Cina memihak calon BN, selebihnya calon itu boleh mengharapkan sumbangan undi dari pengundi Melayu dan India. Pengundi Melayu pada tahap ini memihak kepada UMNO (dan BN). Parti Gerakan boleh menampilkan seorang tokoh India sama ada anak tempatan atau tokoh import sebagai calon mewakili BN. Tetapi calon yang lahir di Teluk Intan lebih popular di hati para pengundi. Pengorbanan Mah tidak sia-sia kerana dengan menarik diri dari bertanding pengorbanannya tetap dibalas oleh pucuk pimpinan. Sebagai Presiden, PM tentu tidak akan meminggir semata-mata dia tidak bergelar ahli parlimen. Mah boleh dilantik ke jawatan senator sebelum diberi peluang menjadi menteri dalam kabinet Perdana Menteri. Sementara itu Pengerusi BN negeri Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir dijangka mengadakan pertemuan dengan para pemimpin BN peringkat negeri dan bahagian Teluk Intan. Agenda pertemuan tentulah mengenai PRK ini. Dr.Zambry kini dipertanggungjawabkan dengan tugas memenangi PRK ini kerana sebagai PRK yang pertama diadakan di negeri Perak, MB Perak itu tentu mahukan kemenangan.

#PRK Bukit Gelugor & Teluk Intan: BN Buat Penilaian Terperinci......!!!

Kepimpinan tertinggi BN akan membincangkan dua PRK yang akan diadakan tidak lama lagi dan satu keputusan akan dibuat oleh pengerusi BN, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN akan membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan. Beliau ditanya untuk mengulas PRK yang dijadualkan pada 25 Mei untuk kerusi Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang berikutan kematian Anggota Parlimen kawasan itu yang juga bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, dalam satu kemalangan pada 17 April. Satu lagi PRK bakal diadakan bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, Perak berikutan kematian Anggota Parlimen kawasan itu, Seah Leong Peng dari DAP akibat kanser pada 1 Mei. Ketika ditanya sama ada BN akan membincangkan untuk tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor, Muhyiddin berkata: "Itu tak tahulah, jangan buat ramalan". Berhubung cadangan MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi PRK Bukit Gelugor, Muhyiddin berkata BN sentiasa menghormati dan mengambil kira cadangan parti-parti komponen. Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diputuskan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagi PRK Teluk Intan, Muhyiddin berkata BN akan membuat persiapan sambil menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung tarikh pilihan raya. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan penduduk Kampung Masyarakat Jasa. Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Jorak, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh. Sementara itu, Muhyiddin turut menziarah bekas Imam masjid kampung Jawa, Lenga, Markusin Tarimin, 85, serta beramah mesra dengan masyarakat setempat. Beliau kemudiannya merasmikan Pusat Sumber Ilmu dan Gelanggang Futsal Kampung Parit Tunggol serta menyampaikan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan. Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh turut meninjau tapak medan selera dengan kos RM1.4 juta yang bakal dibina di Pekan Pagoh sebagai satu daripada usaha Majlis Perbandaran Muar (MPM) untuk menaik taraf pekan itu. Dalam taklimatnya, Yang Dipertua MPM Ramlee A Rahman berkata projek di atas tanah seluas 0.4 hektar di sebelah Balai Raya Pagoh itu, akan memulakan pembinaannya pada suku akhir tahun ini."Medan selera ini akan mempunyai 15 buah gerai bagi menempatkan pengusaha-pengusaha gerai makanan yang berselerak di tepi-tepi jalan dan berhadapan bangunan komersial di pekan ini," katanya selepas tinjauan Muhyiddin ke tapak itu. Ramlee berkata, peruntukan kira-kira RM600,000 pula akan digunakan untuk projek pengindahan dan menambahbaik sistem pencahayaan Pekan Pagoh.

#PRK Teluk Intan: Presiden Gerakan Calon Sesuai......!!!???

Presiden Parti Gerakan Datuk Mah Siew Keong merupakan calon paling sesuai untuk bertanding mewakili BN bagi PRK Parlimen Teluk Intan, kata penasihat parti itu Datuk Chang Ko Youn. Beliau berkata ini kerana Siew Keong mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membawa pembangunan, sumbangan dan menabur khidmat kepada komuniti di Teluk Intan, sejak beberapa tahun lepas. “Saya percaya beliau paling layak dan calon paling sesuai bagi pilihan raya kecil ini kerana pengundi Teluk Intan telah melihat prestasi, rekod perkhidmatan, personalitinya dan lebih penting beliau ialah anak tempatan,” katanya selepas melancarkan ‘Charity Food Fair’ Rumah Orang Tua Kampung Simee. Bagaimanapun Ko Youn berkata, senarai calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN. Parti Gerakan juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan mengenai calon yang paling sesuai dan berpotensi untuk mewakili BN, katanya. Ko Youn berkata, Gerakan sedang mempersiapkan untuk menghadapi PRK itu dan adalah ‘malang dan terlalu cepat” kerana ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perlembagaan Persekutuan. “Pastinya PRK yang akan datang ini akan menjadi perlawanan amat sukar memandangkan senario politik semasa tetapi Gerakan mempunyai rangkaian yang kuat, keahlian dan pasukan berdedikasi yang semuanya akan digerakkan untuk menghadapi PRK....kami mempunyai rekod prestasi yang baik, nama dan juga dikenali masyarakat". Beliau berkata senario PRU13 tidak sama dengan keadaan semasa memandangkan pada tahun 2013, pengundi dipengaruhi khabar angin yang mencetuskan kemarahan seperti dakwaan kononnya berlaku kemasukan warga asing untuk mengundi. “Pada ketika itu pembangkang juga dilihat mempunyai harapan untuk menjadi kerajaan"."Kali ini saya berpendapat pengundi mahu menghargai sumbangan BN dan lebih baik mereka memilih calon BN yang boleh memberi perkhidmatan berkesan serta menjadi jambatan antara penduduk Teluk Intan dan kerajaan,” katanya. Siew Keong pernah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU10 dan PRU11 bagaimanapun tewas pada PRU12 dan PRU13. PRK Parlimen Teluk Intan perlu diadakan ekoran wakil rakyatnya dari DAP Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Khamis lepas. Pada PRU13, Leong Peng menewaskan Siew Keong sebagai calon BN dan calon Bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi. Mendiang sebelum ini pernah menjadi ADUN Pasir Bedamar selama tiga penggal sejak tahun 1999.

Brunei Haram 19 Perkataan Untuk Bukan Islam.......!!!!

Kerajaan Brunei mengharamkan penggunaan 19 perkataan, termasuk ALLAH dan masjid, oleh orang bukan Islam di negara itu. Brunei Times melaporkan, pengharaman itu berkuat kuasa bulan ini di bawah Kod Penal Syariah. Lain-lain perkataan diharamkan adalah azan, baitullah, al-Quran, fatwa, firman ALLAH, hadis, haji, hukum syarak, Ilahi, kaabah, kalimah syahadat, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali. Pegawai Undang-Undang Syariah Kanan Unit Undang-Undang Islam Hardifadhillah Mohd Salleh berkata, Kod Penal Syariah juga diguna pakai kepada bukan Islam, termasuk kesalahan berzina dengan pasangan Islam, minum arak di tempat awam dan khalwat dengan pasangan Islam. “Jika sabit kesalahan, hukuman adalah denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau satu tahun penjara. Bagi pesalah zina yang dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah berkahwin dan yang sudah berkahwin tetapi bukan Islam, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika kesalahan itu dibuktikan oleh pengakuan atau kesaksian empat saksi,” katanya. Menurutnya, mana-mana pihak yang menghasut lelaki atau wanita Islam bercerai atau tidak menjalankan kewajipan terhadap pasangan masing-masing, boleh dikenakan denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau penjara setahun. “Mana-mana ibu atau bapa beragama Islam yang ikhlas menyerahkan anak mereka dipelihara oleh orang bukan Islam, boleh dikenakan denda sehingga B$20,000 (RM52,000) dan atau penjara lima tahun,” katanya.