Monday, 14 April 2014

Rasuah: Khalid Ibrahim Bakal Tumbang Di Pemilihan PKR?

Selepas isu "wanita simpanan" yang menuntut bayaran tertunggak sejumlah RM3 Juta, kali ini Menteri Besar Selangor dikaitkan pula dengan rasuah. Pemuda UMNO Selangor telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian penjualan tanah di Kuala Langat antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat Tropicana Corporation Berhad yang didakwa mempunyai unsur penyelewengan. Ketua Pemudanya, Zainuri Zainal berkata laporan itu dibuat supaya satu siasatan dapat dilakukan terhadap Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta pemilik tanah berhubung penjualan yang didakwa mencecah sekali ganda. "Kami membuat aduan secara rasmi berikutan terdapat unsur rasuah dan salah guna kuasa". “Kami mendesak tindakan yang sewajarnya diambil kepada individu yang dikenalpasti melakukan ketirisan atau (melakukannya) untuk kepentingan peribadi," katanya di pejabat SPRM Selangor. Zainuri mendakwa penjualan tanah yang dilakukan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya kerana dilakukan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri menjual tanah itu kepada Tropicana di bawah harga pasaran, iaitu RM17 sekaki persegi, sedangkan Tropicana menjual tanah yang sama kepada sebuah lagi syarikat swasta dengan nilai RM35 sekaki persegi. Pada April tahun lepas, kerajaan negeri menerusi PNSB menjual 474.3 hektar tanah paya kepada Tropicana dan syarikat itu kemudian menjual satu perempat daripada jumlah tanah terbabit kepada Eco World Development Group Berhad dengan nilai lebih tinggi.

Pelaksanaan Hukum Hudud: DAP Melobi Komponen BN.......!!!

DAP memulakan gerakan bagi menentang usul rang undang-undang persendirian hudud kerajaan negeri Kelantan yang akan dibawa ke Parlimen hujung tahun ini. Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng mendakwa partinya turut mendapat sokongan komponen BN termasuk dari MCA, Gerakan dan MIC. Beliau mendakwa, setakat ini 50 ahli Parlimen menyatakan tentangan terhadap hudud termasuk 38 ahli Parlimen DAP, MCA (7), Gerakan (1) dan MIC (4). “Seramai 38 ahli Parlimen DAP secara terbuka menyatakan tidak akan mengundi usul persendirian yang dikemukakan PAS. ”Kami memerlukan sokongan 25 ahli Parlimen lagi melalui cara melobi ahli Parlimen BN yang bukan beragama Islam bagi menyokong kami membantah rang undang-undang ini,” katanya. Menurut beliau, usul persendirian hudud yang akan dikemukakan oleh ahli Parlimen PAS akan dapat ditentang DAP sekiranya mereka mendapat sokongan melebihi dua pertiga ahli Parlimen iaitu seramai 75 orang. Bercakap dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Segambut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Lim berkata usaha melobi ahli parlimen bukan Islam BN bukan sahaja digerakkan DAP malah oleh parti komponen BN sendiri. “Usaha ini tidak dilakukan sendirian. Kami akan menggesa ahli parlimen MCA dan MIC untuk sama-sama memujuk ahli parlimen BN yang lain,” katanya. Thomas berkata usaha melobi itu akan dilaksanakan pada masa terdekat dan mereka kini dalam proses mengumpulkan maklumbalas dan membuat persediaan. Ketika ditanya adakah MCA pernah menyatakan sokongan secara peribadi untuk menentang hudud, Lim berkata: “MCA menyatakan dalam media beberapa kali tujuh ahli parlimennya tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian hudud. “Saya juga difahamkan Gerakan dan MIC turut tidak menyokong usul itu,” katanya.

Terjejaskah Kedudukan Khalid Selepas Pemilihan PKR ???

Jika benar kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bahawa Kajang Move jalan terus walaupun bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Menteri Besar Selangor, nampaknya kenyataan beliau seolah-olah ada benarnya. Ini ekoran kecaman Pemuda PKR Selangor terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menggunakan media rasmi kerajaan negeri untuk tujuan berkempen bagi merebut pertandingan timbalan presiden pada pemilihan akan datang. Menerusi kenyataannya, Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Khalid seperti pemimpin BN yang menggunakan media Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk berkempen demi kepentingan politik peribadi. “Pemuda PKR Selangor kesal dan kecewa kerana sosok Menteri Besar Selangor yang sering menonjolkan dirinya sebelum ini sebagai seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti akhirnya kini bertindak menyalahgunakan portal media rasmi kerajaan negeri bagi tujuan politik peribadi beliau,” katanya. Saifuddin berkata, Khalid menggunakan laman portal Selangor Kini bertarikh 12 April 2014 di bawah tajuk “Pemilihan PKR 2014: Kenapa Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai Timbalan Presiden” bagi tujuan kempen politik beliau. Khalid bakal ditentang penyandang kerusi berkenaan, Mohamed Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, serta Datuk K Ramachandram bagi jawatan kedua tertinggi PKR itu. Semakan susulan juga menunjukkan bahawa akaun laman sosial Media Selangorku menerusi Facebook dan Twitter turut disalahguna bagi tujuan sama iaitu berkempen untuk Menteri Besar Selangor. “Tindakan sebegini sememangnya memalukan memandangkan ia bertentangan dengan pendirian dan prinsip PKR,” katanya. Daripada 500,001 ahli PKR yang layak membuat pilihan kali ini, hampir separuh daripada mereka berada di Selangor dan Sabah. Selangor mempunyai 144,020 ahli manakala Sabah mempunyai 86,955 ahli PKR. Umum mengetahui Khalid tidak sebulu dengan Azmin, dan penyertaan Saifuddin adalah bagi meredakan ketegangan yang wujud antara dua kem Azmin dan Khalid. Azmin merupakan pengerusi PKR Selangor dan bekas pengerusi PKR Sabah sebelum ini. Pemilihan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei. Kenyataan terbuka Pemuda PKR Selangor ini tentu memberi gambaran buruk terhadap Khalid selepas beliau membuat kenyataan bahawa dirinya bukan Pak Turut kepada Anwar. Tentu ramai ingin tahu kenapa Saifudin berani membuat kenyataan sedemikian. Mungkin ada jari akan menunjuk kepada Azmin tetapi perkara lain perlu diberi perhatian ialah apa sahaja boleh berlaku dalam pemilihan mana-mana parti dengan ada pihak akan mengecam pihak lain dan Khalid nampaknya tidak terkecuali.

Timbalan Presiden PKR: Saifuddin Hilang Kelayakan......!!!???

Calon Timbalan Presiden PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) untuk menentukan sama ada beliau masih dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti kali ini. Saifuddin, yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR berkata beliau tidak mengetahui sama ada beliau telah melanggar etika berkempen dan berdepan kehilangan kelayakan untuk bertanding. “Saya tak ada maklumat tentang perkara ini (kehilangan kelayakan bertanding). Soalan ini perlu ditanya kepada Datuk Johari Abdul (Pengerusi JPP),” jawabnya. Dilaporkan Saifuddin berkemungkinan hilang kelayakan dari bertanding ekoran kenyataannya dalam wawancara bersama sebuah akhbar tempatan 11 April lalu. Dalam wawancara itu, Saifuddin dilihat mengkritik dua calon lain yang turut merebut jawatan kedua tertinggi PKR itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Saifuddin dilaporkan melabel Khalid sebagai individu yang tahu segalanya (know it all) terutamanya dalam isu air. Azmin pula dikatakannya tidak suka bertukar pandangan, idea ataupun berdebat. Minggu lalu, Johari, selaku Pengerusi JPP, menjelaskan setiap calon mesti menuruti tujuh garis panduan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu. Garis panduan itu, antara lain, menegaskan ‘apa-apa kenyataan, ucapan atau bahan kempen semasa pemilihan parti hendaklah berasaskan rekod kerja calon, pencapaiannya dan perancangannya untuk parti. Ucapan keji, fitnah, caci dan menghina dilarang sama sekali’. Menurut Johari, sekiranya mana-mana pihak mendapati terdapat calon yang melanggar peraturan ini, mereka perlu membuat satu laporan dan kemukakan bukti dalam bentuk hitam putih. “Kita amat berhati-hati dalam hal ini dan kita ada pasukan peguam yang menasihati kita dari masa ke semasa,” kata Johari.

Sunday, 13 April 2014

Pernahkah Umat Melayu Bersatu......???

Benarkah Melayu berpecah? Jawapannya tidak semudah pilihan binari; ya atau tidak. Mungkin lebih mudah untuk mentakrif Melayu. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu. Kemelayuannya terletak pada Islamnya, adat dan bahasanya. Tegasnya, agama orang Melayu itu Islam. Di segi itu, kedudukan orang Melayu istimewa. Walau dari gugusan mana sekali pun, Melayu disatukan Islam. Takrif ini telah menyatukan umat Melayu. Tidak timbul Melayu berpecah kerana Islam, meskipun wujud ikhtilaf atau perbezaan di segi kefahaman dan amalan. Sangat sengit, contohnya terkini tentang penggunaan Kalimah ALLAH oleh bukan-Islam.Maka mengajak Melayu bersatu dengan Islam bukan lagi satu imperatif atau kemestian. Hanya memaknakan penyatuan ini memerlukan pencerahan. Beralih kepada proposisi apakah perpecahan Melayu kerana politik? Benarkah politik Melayu berpecah sejak awal? Jawapannya tidak. Sebabnya secara logik, untuk berpecah Melayu mesti pernah bersatu dulu di segi wadah perjuangannya. Hakikatnya pernahkah umat Melayu bersatu? Secara akademiknya tidak pernah. Sebaliknya perjuangan era pra-kemerdekaan menyaksikan amalan kepelbagaian parti. Bangsa Melayu menunjukkan sikap toleransi dalam amalan kepelbagaian parti. Sejarah awal politik menemukan kita dengan Kesatuan Melayu Muda seawal 1937. Parti Politik Baru Melayu muncul setelah tamat Perang Dunia Kedua yakni Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKMM juga punya pelbagai wadah seperti Angkatan Pemuda Insaf (Api),Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Majlis Agama Tertinggi Malaya (Mata). Syor Malayan Union dari British mencetus penentangan kaum Melayu besar-besaran. Episod penggemblengan bantahan melahirkan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu, UMNO, pada 1946. Ringkasnya, UMNO mengemudi pencapaian kemerdekaan dengan pendekatan diplomasi sementara wadah perjuangan kemerdekaan lain memberikan tentangan politik secara konfrontasi kepada British. Aktivisme serta dinamika perjuangan politik tanah Melayu menarik. Jelasnya, konstruk politik dan sistem demokrasi kepelbagaian parti terbina sejak berzaman. UMNO berterusan memerintah negara, sama ada dalam Perikatan, kemudian dalam Barisan Nasional (BN), tidak bersama semua kelompok Melayu. Tidak timbul isu perpecahan Melayu.Maka gugatan Melayu bakal kehilangan kuasa kalau tidak bersatu, ganjil kerana tidak punya naratif serta merit sejarah. Yang ketara, gembar-gembur perpecahan Melayu berulang setiap kali UMNO, tercabar apabila kehilangan kuasa dua-pertiga majoriti di Parlimen. Itu letak duduk perkara perpecahan Melayu dalam konteks politik. Ruang menghurai terhad. Apabila terus diterjah untuk bersatu, Matmerapu memajukan satu paradigma di luar kotak. Ini huraiannya. Ya, memang ada yang Melayu wajib bersatu. Melayu tidak punya pilihan. Sebaliknya, kalau umat Melayu enggan bersatu sekalipun, ia tetap menjadi kemestian. Bagaimana? Penyatuan Melayu dalam formula ini mewajarkan pelbagai parti politik orang Melayu kekal, sama ada dalam UMNO, PAS atau PKR atau dalam koalisi Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Ini erti bersatu dalam menunaikan tuntutan Semak-Imbang yang dianjurkan al-Quran (Al-Baqarah: 25) dalam kerangka siyasah syariah (politik Islam) bertujuan mencapai maqasid syariah dalam konstruk pemerintahan multi-party. Bangsa Melayu mesti bersatu memartabat Islam sebagai Agama Persekutuan bagi menyerlahkan Islam sebagai agama rahmat yang menjamin keadilan dan kemakmuran untuk semua. Islam mesti mendamaikan keberantakan pertentangan agama dan menjalin persaudaraan manusia sejagat, merentasi semua tembok pemisahan sekali gus membanteras perkauman sempit. Bangsa Melayu mesti bersatu dengan mengukuhkan institusi-institusi demokrasi. Umat Melayu mesti bertekad mensejahterakan rakyat dengan membangunkan sebuah ekonomi yang berdaya-saing, mampan, bebas rasuah, ketirisan, salah guna kuasa, bebas pembolotan serta pembaziran.

Azmin/Zuraida Bersedia Untuk Ganti Anwar/Wan Azizah.......!!!

Timbalan PKR, Azmin Ali berkata, parti itu harus keluar daripada terus dibayangi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau yang akan bertanding mempertahan jawatannya bulan hadapan menegaskan, perkara itu perlu dilakukan demi survival parti berkenaan dalam landskap politik semasa. Menurutnya, PKR yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu perlu bergerak ke hadapan untuk menghadapi keadaan yang semakin mencabar.“PKR bukan parti Anwar dan tidak boleh terus dibayangi oleh beliau. Oleh itu, ahli-ahli mesti bergerak melebihi beliau dan untuk mencapai hasrat berkenaan, kita perlu menonjolkan lebih ramai pemimpin muda dan profesional demi parti," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ahli PKR negeri di Pulau Pinang. Azmin berkata, bagi tujuan kesinambungan kepimpinan parti, lebih ramai tokoh muda dan profesional harus ditonjolkan untuk memastikan PKR terus dominan termasuk dalam aspek kerjasama bersama PAS dan DAP.“Bagaimanapun, buat masa ini kita masih perlukan kepimpinan beliau (Anwar)," katanya. Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak pada masa sama turut mengingatkan ahli supaya memikirkan masa depan parti sebelum mengundi.“Saya ingin tegaskan, bukanlah sesuatu perkara mudah berada dalam PKR pada hari ini kerana cabarannya terlalu besar," katanya.Ditanya mengapa tidak membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Presiden selepas 15 tahun membuktikan ‘kesetiaan’ bersama parti, Azmin memberitahu, perkara itu sukar untuk dijelaskan.“Mengapa anda bertanya soalan sukar tetapi saya akui selesa bekerja bersama Anwar dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail," katanya. Bagaimanapun ketika ditanya adakah beliau tidak selesa bekerja bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Azmin meminta media supaya tidak memaksanya mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut. Dalam masa sama, beliau mengakui pernah mengkritik Abdul Khalid demi kepentingan rakyat terutama dalam isu kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor. Sementara itu, Azmin menjelaskan beliau tidak gentar dengan pakatan yang dibentuk oleh Nurul Izzah Anwar, Datuk Saifudin Nasution dan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR kali ini. “Saya serahkan kepada ahli untuk membuat pilihan tetapi saya tidak percaya terhadap konsep membentuk gabungan menjelang pemilihan parti," katanya.

Azmin Ali Bidas Saifuddin Nasution......!!!

Penyandang kerusi Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa PKR merupakan parti berteraskan Melayu.Menurut Azmin, PKR adalah parti politik berbilang kaum dan agama dan sudah berjuang hampir 15 tahun menolak politik perkauman.Saifuddin dalam kenyataannya kepada akhbar News Straits Times 11 April lalu mengakui PKR perlu menerima hakikat bahawa parti itu masih bergantung kepada sokongan majoriti Melayu."Tidak. PKR tak pernah jadi politik berasaskan Melayu. PKR punya tanggungjawab besar memastikan satu budaya politik baru dapat dibawa dalam politik Malaysia, iaitu politik pelbagai kaum," kata Azmin pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.Ditanya mengenai debat antara calon Timbalan Presiden, Azmin berkata pihaknya masih menunggu pandangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sama ada membenarkannya diadakan."Sekiranya ahli parti melihat perbahasan terbuka membantu mereka membuat pilihan,kita raikan penyertaan anggota parti mengadakan perbicangan terbuka," katanya. Apabila ditanya mengenai visi dan misi terbaru, Azmin berkata perkara itu akan dijelaskannya melalui forum yang akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 16 April ini.Merujuk kepada gabungan “Masa Depan Bersama antara Saifuddin-Nurul Izzah Anwar-Rafizi Ramli”, beliau sekali lagi menegaskan strategi itu tidak memberi perkembangan sihat kepada masa depan PKR kerana baginya yang menentukan masa depan parti adalah ahli dan bukan mengikut kumpulan."Namun saya sambut baik rakan-rakan yang menawarkan khidmat kepada parti dan harap proses akan berjalan dengan baik," katanya. Beliau turut memberi amaran kepada calon supaya bekerja keras sepanjang masa, bukan hanya seminggu sebelum pemilihan dan lesap tiga tahun selepasnya.Azmin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor turut berikrar akan mempertahankan kedudukan Selangor sebagai "kubu terkuat PKR" di negeri itu. Proses penamaan calon peringkat cabang Selangor bermula hari ini pada pukul 10 pagi sehingga 5 petang di hadapan ibu pejabat PKR melibatkan keseluruhan 22 cabang.