Thursday 11 September 2014

#PRK Pengkalan Kubor: Wan Rosdi Calon PAS......!!!

Apa yang tersebar dari sumber dalaman PAS Kelantan mengenai calon yang bagi Pakatan untuk PRK Pengkalan Kubor semalam ialah Wan Rosdi yang juga penyelia DUN Pengkalan Kubor telah dipilih. Pemilihannya dibuat setelah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar menolak pencalonan beliau dan mahu calon tempatan diberi peluang. "Asalnya memang PAS Tumpat namakan Datuk KJ (Kamaruddin Jaafar) sebab dalam PRU13, biarpun calon PKR kalah di DUN Pengkalan Kubor tetapi Datuk KJ menang majoriti 400 undi. "Sebab itu PAS Tumpat namakan dia untuk jadi calon, tapi Datuk KJ tolak dan cadangkan supaya pimpinan di DUN Pengkalan Kubor diberi peluang. "Jadi setelah dinilai, Wan Rosdi merupakan calon terbaik sebab dia mesra dengan penduduk setempat dan merupakan anak tempatan," kata sumber tersebut. Selain Wan Rosdi, dua nama lagi yang turut menjadi perhatian untuk dinamakan sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat, ialah Che Ibrahim Mohamed dan Rofien Hassan. Pada 11 Sep 2014, secara rasminya PAS mengumumkan Wan Rosdi calon Pakatan untuk PRK Pengkalan Kubor. Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 57, akan membawa cabaran Pakatan Rakyat dalam misi merampas DUN Pengkalan Kubor yang dikuasai Umno sejak 2004. Pemilihan beliau diumumkan oleh Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada satu majlis. Antara yang hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar Beliau merupakan anak tempatan Kampung Bendang Pak Yong. Pernah mengikuti kursus pentadbiran perniagaan di Tokyo, Jepun pada 1984. Wan Rosdi pernah menimba ilmu di Institut Kemahiran Mara di Sungai Petani, Kedah dalam binaan bangunan (1978-1980). Pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhamadi Pasir Mas sehingga lulus SPM. Pernah juga belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al Ihsan, Tanah Merah. Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah. Susur galur keluarganya terbabit dengan PAS. Ibunya, Wan Esah Wan Deris merupakan Ketua Muslimat PAS Tanah Merah. Beliau berhijrah ke Tumpat selepas berkahwin dengan Saadiah Salleh yang juga bekas Ketua Muslimat PAS Tumpat. Bagaimanapun isterinya meninggal dunia pada 14 Julai 2013. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 5 anak. Wan Muhammad Khairul Amili bertugas sebagai jurutera, Wan Nor Hayani lulusan master di UiTM, Wan Shakikah lepasan ijazah USIM. Wan Mohd Shafiq (Ijazah Universiti Islam Sultan Shariff Riau, Pekan Baru Indonesia) dan Wan Najibah lepasan ijazah USIM. Wan Rosdi juga merupakan Ketua Unit Amal Tumpat ketika peringkat awal diwujudkan. Sebelum terbabit sepenuh masa dengan parti beliau mengurus perniagaan sendiri sebagai kontraktor binaan. Kegiatannya dalam parti bermula sebagai AJK Pemuda PAS Tumpat pada 1991 dan 1997 dilantik sebagai AJK PAS Tumpat. Selepas PRU 1999 Wan Rosdi bertugas sebagai Setiausaha ADUN Pengkalan Kubor, Wan Hussin Wan Ahmad. Pernah juga dilantik sebagai Penolong Setiausaha PAS Tumpat dan Setiausaha Penerangan PAS kawasan dan mulai tahun lepas dilantik sebagai Setiausaha PAS Tumpat. Hubungannya dengan masyarakat di Pengkalan Kubor tambah akrab selepas dilantik sebagai Penyelia DUN Pengkalan Kubor sejak 2009. Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Perkayuan Kelantan pada 2013 dan Ahli Majlis Daerah Tumpat pada 1997-2007.

No comments:

Post a Comment