Friday, 19 September 2014

#PRK Pengkalan Kubor: Siapa Bakal Terkubur.......!!!???

Satu hakikat yang tidak mampu disangkal tiga calon yang bertanding dalam PRK Pengkalan Kubor yang tempoh rasmi berkempen yang bermula pada 13 Sep lalu adalah kualiti bekas wakil rakyatnya. Tidak kiralah calon itu mewakili BN, PAS atau Pen (lambang dipilih oleh calon Bebas), mahu atau tidak, ketiga-tiga calon bertanding ini perlu akur terhadap realiti bahawa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar bukanlah calang-calang pemimpin. Disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan, jasa wakil rakyat tiga penggal di Pengkalan Kubor ini tidak ‘terkubur’ bersama jasadnya. Menjelang pemilihan 25 Sep ini, poster-poster calon bertanding semakin hebat telah dinaikkan di kesemua 12 daerah mengundi yang dipisahkan oleh Sungai Golok dengan Thailand. Di sebalik kesibukan menghadapi PRK, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai ‘Datuk Di’ tetap menjadi sebutan. Kemesraannya jadi kenangan dan jasanya abadi sebagai sanjungan. Sedikit tinjauan tentang Pengkalan Kubor, orang PAS atau orang BN di sini boleh dikatakan tidak berbalah sesama sendiri, sebaliknya mereka saling menghormati. Kalau ada pun mungkin beberapa kerat sahaja. Barangkali, mereka telah terikut-ikut teladan yang ditunjukkan bekas wakil rakyat tiga penggal mereka yang sering menghulurkan bantuan tanpa mengira perbezaan ideologi politik. Menurut cerita penduduk, Allahyarham yang faham dan fasih berbahasa Thai ini tidak hanya muncul di ‘majlis suka-ria’ atau kenduri-kendara sahaja. Tiba musim banjir, beliau tiba dulu sebelum ketibaan bantuan rasmi. Andaikata ada penduduk yang sakit, beliau beli ubat dan tidak lupa menziarah. Satu perkara lagi yang sering diberitahu penduduk; Allahyarham lebih suka jika penduduk memanggilnya ‘abe’(abang). Cerminan kepimpinan Noor Zahid terdahulu, maka tidak hairanlah kawasan Pengkalan Kubor dilihat cukup tenang dan meriah dengan hubungan komuniti yang cukup erat. Percaya atau tidak, ada penduduk yang memberikan Gred A+ terhadap tugas dan khidmat bakti Allahyarham. Tiga calon bertanding, Mat Razi Mat Ail (BN), Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) bagaimanapun tidak perlu terlalu gusar dengan ‘sejarah’ manis yang telah ditinggalkan Allahyarham kepada penduduk di Pengkalan Kubor. Namun, tidak dinafikan, tidak mudah untuk mereka menyambung tugas seorang pemimpin yang disenangi dan disayangi rakyat. Tetapi, sekurang-kurangnya tiga calon anak kelahiran Kelantan ini tidak perlu ‘pening kepala’ memikirkan isu-isu berat atau mencongak apa sebenarnya yang dimahukan oleh 24,039 pengundi di Pengkalan Kubor. Dengan menoleh ke belakang, merenung sejenak faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan Datuk Di dahulu, ketiga-tiga calon ini sebenarnya sudah boleh ‘nampak’ rahsia untuk mereka memenangi hati rakyat, seterusnya menang di hari mengundi kelak. Mereka sebenarnya sudah punya petunjuk jelas dan menemui dua rahsia untuk menang! Penduduk faham setiap pemimpin membawa identiti dan pendekatan kepimpinan dengan cara tersendiri. Sebab itulah mereka tidak minta pemimpin seterusnya menjadi ‘Datuk Di ke-2′. Mereka tahu itu mustahil! Apa yang penduduk harapkan adalah – melihat tampilnya seorang YB (Yang Berhormat) yang sebaik mungkin atau setaraf, atau yang lebih baik daripada wakil rakyat mereka terdahulu. “Apa yang perlu diusahakan calon-calon sekarang ialah mengatur strategi terbaik, turun padang dan mendekati rakyat dan paling penting jangan sesekali melakukan sesuatu yang dilihat ‘jengkel’ di mata pengundi,” kata seorang ‘pak cik’ tua di sebuah kedai kopi. Persoalannya, siapakah bakal terkubur? Yang pasti terkubur semestinya calon Bebas yang langsung tidak ada peluang menang dan beliau hanya menyemarakkan demokrasi. Saingan sengit wujud antara calon BN dan PAS malah peluang kemenangan agak seimbang namun akhirnya Matmerapu jangka bahawa BN akan menang dengan majority lebih kecil, insya'allah.

No comments:

Post a Comment