Tuesday, 14 October 2014

UMNO Pecat Tiga Ahli.......!!!

Selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tiga ahli dari Maran dipecat kerana mensabotaj parti. Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO memecat tiga ahli parti dari Maran, Pahang, berkuat kuasa serta merta atas dua kesalahan termasuk mensabotaj parti, kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak. Najib berkata Mohd Zamri Mohd Sham dari Kampong Sekara dipecat kerana berceramah di pentas PKR semasa majlis penubuhan cabang PKR Maran, dan memburukkan UMNO selepas tidak berpuas hati dengan kepimpinan bahagian parti. Mohd Khairi Dahalan dari Taman Sri Keramat dan Ahmad Shukor Awang dari Kampong Senggora pula dipecat kerana memiliki dua keahlian parti, dan mengaku menjadi anggota PKR cabang Maran. "Kita sekarang ini tegas, jika ada dua keahlian (parti politik) kita akan pecat terus apabila mempunyai bukti," kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur. Pada sidang media sama, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa MT UMNO mahu penekanan khusus diberikan terhadap usaha pembangunan di luar bandar seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu. Dalam pembentangan Bajet 2015, kerajaan antara lain memperuntukkan RM4.5 bilion untuk menyedia dan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak. Najib berkata anggota majlis juga menekankan tentang pentingnya pelaksanaan dan pengagihan peruntukan Bajet 2015, supaya ia dapat berjalan dengan sempurna dan lancar. "Secara umumnya, anggota MT sangat berpuas hati dengan Bajet 2015," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata semua anggota MT juga mengambil maklum bahawa Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dizahirkan secara terbuka sebagai agenda nasional semasa pembentangan bajet itu. Dalam Bajet 2015 bertemakan "Ekonomi Keperluan Rakyat", RM223.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Dalam perkembangan lain, Najib berkata anggota MT mengambil maklum kejayaan pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor pada 25 September lalu dan akan menjadikannya sebagai contoh bagi meneruskan kecemerlangan BN pada mana-mana PRK. Najib juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jentera BN pada PRK tersebut dengan sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed. PRK Pangkalan Kubor dimenangi calon BN Mat Razi Mat Ail yang menewaskan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 2,635 undi.

No comments:

Post a Comment