Thursday 16 October 2014

Malaysia Menang Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB......!!!

Malaysia memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi. Pengundian berlangsung di dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisi lima kekosongan bagi anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman turut berada dalam dewan berkenaan untuk mengundi. Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 130 undi untuk membolehkannya menduduki kerusi itu. Sebanyak 193 wakil negara anggota PBB layak mengundi untuk memilih lima anggota baharu Majlis Keselamatan. Anggota baharu akan menduduki kerusi berkenaan pada 1 Jan 2015 dan akan berkhidmat dalam UNSC sehingga 31 Dis 2016. Kelima-lima kerusi bagi pemilihan pada 2014 yang diagih di peringkat serantau ialah satu bagi Kumpulan Afrika (kini disandang Rwanda), satu bagi Kumpulan Asia-Pasifik (Republik Korea), satu bagi Kumpulan Negara-Negara Amerika Latin dan Caribbean (Argentina) serta dua bagi Eropah Barat dan Kumpulan Lain (Australia dan Luxembourg). Lithuania akan mengekalkan kerusi untuk setahun lagi bagi Kumpulan Eropah Timur. Pemenang lain bagi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan ialah Angola ( bagi Kumpulan Afrika), Venezuela (Amerika Latin dan Caribbean) dan New Zealand (Eropah Barat dan Kumpulan Lain) manakala Sepanyol dan Turki terlibat dalam pusingan pengundian ketiga bagi mengisi satu lagi kekosongan. Lima anggota Tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto ialah China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Selain Lithuania, anggota tidak tetap yang akan kekal dalam Majlis Keselamatan sehingga akhir tahun 2015 ialah Chad, Chile, Jordan dan Nigeria. Di bawah Piagam PBB, Majlis Keselamatan mempunyai tanggungjawab utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Setiap anggota Majlis Keselamatan mempunyai satu undi dan di bawah Piagam PBB, semua negara anggota wajib mematuhi keputusan UNSC. Majlis Keselamatan mendahului dalam menentukan kewujudan ancaman terhadap keamanan atau tindakan pencerobohan. Ia menggesa pihak yang terlibat dalam pertikaian untuk menyelesaikannya secara aman dan mencadangkan kaedah pelarasan atau syarat penyelesaian. Dalam sesetengah kes, Majlis Keselamatan boleh bertindak mengenakan sekatan atau membenarkan penggunaan kekerasan untuk memelihara atau mengembalikan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Majlis Keselamatan juga mencadangkan kepada Perhimpunan Agung mengenai pelantikan Setiausaha Agung dan kemasukan anggota baharu dalam PBB, dan bersama dengan Perhimpunan Agung, ia memilih hakim untuk menganggotai Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali iaitu pada 1965, 1989 hingga 1990 dan bagi tempoh 1999 hingga 2000.

No comments:

Post a Comment