Tuesday, 7 January 2014

Jangan Biarkan Melayu Terus Dilanda Masalah........!!!

Persoalan minda dan watak Melayu telah berbangkit sejak sekian lama. Munsyi Abdullah umpamanya mengaitkan Melayu dengan beberapa sifat yang negatif. Melayu mempunyai watak yang malas, suka bercinta, suka membuang masa, suka bertangguh, tidak menepati waktu dan lain-lain. Tokoh pembaharuan Syed Sheikh al Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin melihat dari sudut agama bahawa orang Melayu suka melakukan khurafat dan memiliki tabiat taklid yang negatif. Pendeta Zaaba, seorang cendekiawan Melayu yang disegani juga melakukan kritikan terhadap bangsanya. Dalam tulisannya majalah Qalam (Bil.19:1952) beliau menyebutkan: “Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatihkan dirinya menjadi peminta sedekah. Maka tidaklah ia akan sampai ke mana dalam pekerjaan mencapai ketinggian dan kejayaan. Bahkan jikalau dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya, kerana iaitu bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri, hanya dapat dengan pertolongan orang jua. Maka perangai suka meminta tolong saja itu – walaupun meminta tolong kepada Allah Taala padahal kita sendiri tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya – sangatlah tidak betul kepada ajaran Islam.” Apa yang disebut oleh Zaaba itu amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris. Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan bisnes, penerokaan dalam bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan dan kekuatan peribadi yang terbabit dengannya. Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari kambing hitam dalam jalan keluar daripada masalah. Malah ada kecenderungan yang amat aktif dalam kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah yang serius dan menyentuh mengenai jati diri dan kekuatan umat Melayu itu sendiri. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Hingga ada sebilangan orang Melayu berpendapat bahawa menaja kegiatan hiburan yang sifatnya melampau adalah tidak salah, malah ia adalah sumber bisnes. Bayangkan kerosakan peribadi dan akhlak akibat daripada hiburan yang melampau telah memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jati diri generasi muda. Kerosakan yang berlaku tidak tertampung dengan pulangan kewangan yang diterima.Masalah penyalahgunaan dadah sudah mencapai paras tertinggi melepasi sejuta orang. Lebih 70 peratus adalah generasi muda Melayu. Pusat Serenti terpaksa menampung jumlah yang semakin meningkat. Di universiti jumlah kemasukan lelaki muda Melayu semakin berkurang. Bayangkan corak modal insan yang bakal lahir pada masa depan. Kurangnya masa yang berkualiti yang diberikan oleh ibu bapa terhadap hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak menyebabkan anak rasa terbiar, kekosongan dan kelompangan. Keciciran anak Melayu sedang berlaku sejak awal umur lagi, sedangkan tempoh sejak dalam perut ibu hingga akil baligh adalah tempoh yang amat kritikal pendidikan anak seharusnya berlaku. Apabila anak tercicir di rumah tidak ada jaminan sekolah bakal mengatasi masalah mereka. Tabiat anak yang tercicir akan berterusan di sekolah dan bakal lebih parah lagi apabila berada di tengah-tengah masyarakat. Ibu bapa Melayu harus memikul tanggungjawab menguruskan anak dengan penuh keinsafan. Dengan siapa anak berkawan, membiarkan anak secara bebas lepas di kafe siber, tidak bertanya mengapa lewat pulang, membiarkan anak terbabit dalam kegiatan antisosial seperti ‘mat rempit’, membiarkan bahan media cetak dan elektronik yang merangsang nafsu dan minda berada di dalam rumah tanpa kawalan adalah antara faktor yang menjinakkan remaja dan generasi muda Melayu kepada jerat yang bakal menjebak mereka ke arah hidup yang bermasalah. Pihak di luar keluarga harus turut sama membantu. Sekiranya kelemahan pengurusan keluarga tidak dibantu oleh sekolah atau agensi yang menyumbang ke arah pembangunan generasi muda, maka orang Melayu akan terus menerus menghadapi masalah. Masalah yang sedia ada sudah semakin parah.....!!!

No comments:

Post a Comment