Tuesday, 7 January 2014
Cadangan Penyelesaian Konflik Kaum.......!!!
Kita semua percaya, walau sekuat manapun sentimen perkauman yang wujud di dalam hati masyarakat Malaysia, jauh di sudut hati mereka, pasti terselit impian untuk hidup di dalam sebuah negara yang erat integrasi kaumnya. Justeru, tidak dapat tidak, kita harus berlapang dada untuk memberi dan menerima sesama sendiri di dalam beberapa perkara, demi untuk mencapai impian bersama ini. Apa yang bakal dicadangkan ini bukanlah suatu bentuk penyelesaian terbaik, namun mungkin boleh difikirkan, bagi memastikan integrasi kaum di Malaysia menjadi realiti.Pertama.Fahami Sejarah Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini adalah permulaan kepada usaha yang selanjutnya. Seharusnya semua kaum di semua peringkat umur di Malaysia memahami sejarah negara ini. Bagaimana asalnya negara ini dari segala segi, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Kemudian bagaimana negara ini berevolusi menjadi sebuah negara yang majmuk seperti apa yang ada pada hari ini. Transformasi itu harus difahami sedalam-dalamnya oleh semua rakyat Malaysia. Seterusnya, Perlembagaan Persekutuan juga harus difahami dengan jelas dari aspek falsafah dan juga sejarah yang membawa kepada peruntukan-peruntukan yang wujud di dalam perlembagaan tersebut. Jika semua ini dapat dilaksanakan, kita semakin menuju ke arah integrasi kaum yang sebenar di Malaysia.Kedua. Kurangkan Perbezaan, Banyakkan Persamaan. Kita juga seharusnya mengurangkan dengan serius perbezaan-perbezaan antara kaum-kaum di Malaysia. Garis pemisah antara kaum sedaya upaya harus dikecilkan. Misalnya, kurangkan organisasi-organisasi politik dan sosial yang berteraskan kaum. Kenapa perlu ada Dewan Perniagaan Melayu? Cina? India? bukankah lebih baik jika kita adakan Dewan Perniagaan Rakyat Malaysia?. Dalam soal ini, perbezaan dari segala segi ini seharusnya dikurangkan. Bahkan harus kita cari titik persamaan yang lebih banyak antara kaum-kaum di Malaysia. Dengan adanya persamaan yang banyak, mungkin konsep bangsa Malaysia bukan lagi sekadar menjadi impian. Dalam menjana usaha ini, mentaliti dan sikap perkauman yang sempit juga harus diubah. Dengan paduan pengetahuan sejarah, kita harus bersifat realistik. Negara ini bukanlah milik kita seorang, tetapi ianya telah dijanjikan di dalam kontrak sosial bahawa negara ini milik bersama, milik semua kaum di Malaysia. Justeru, seperti yang dinyatakan tadi, kita harus mencari persamaan itu sebanyaknya dan mengurangkan perbezaan antara kita sebolehnya.Ketiga. Transformasi Sistem Pendidikan. Hal ini juga mungkin boleh difikirkan. Kita semua sedia maklum, pendidikan khususnya di peringkat sekolah rendah merupakan platform terbaik untuk memupuk integrasi kaum di Malaysia, justeru mengapa selepas 50 tahun medeka, kita masih mengamalkan sistem pendidikan yang memisah-misahkan kaum di dalam negara kita? Seharusnya kita mengumpulkan anak-anak ini di bawah satu bumbung supaya mereka saling kenal mengenal dari segala segi dengan lebih rapat lagi. Agar apabila mereka sudah dewasa kelak, kerukunan hidup bersama rakan-rakan di sekolah yang berbilang kaum itu akan terus dipelihara dan dipraktikkan. Mungkin usaha untuk mewujudkan hanya satu sistem persekolahan di Malaysia merupakan suatu perkara yang agak mustahil, namun kerajaan masih boleh memikirkan alternatif lain untuk mengumpulkan pelajar-pelajar sekolah ini di bawah satu bumbung, misalnya sebagai contoh, hanya membenarkan calon UPSR mengambil ujian tersebut di sekolah-sekolah aliran kebangsaan sahaja, dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan hanya menawarkan khidmat pendidikan sehingga darjah lima sahaja. Pada darjah enam, semua pelajar diwajibkan belajar di sekolah-sekolah aliran kebangsaan.
Silibus pendidikan juga harus dibuat rombakan sedikit sebanyak, daripada hanya mementingkan subjek-subjek sains tulin di sekolah-sekolah rendah, kerajaan juga harus memberi penekanan yang lebih kepada subjek-subjek yang berteraskan sains sosial seperti budaya dan sejarah. Supaya pendedahan di peringkat awal ini akan mengukuhkan kefahaman mereka terhadap kepelbagaian yang wujud di Malaysia ini.Keempat. Kurangkan Agenda Politik Perkauman. Politik perkauman sedikit sebanyak mempunyai kepentingannya yang tersendiri kepada perhubungan kaum di Malaysia. Namun, jika ianya diperjuangkan dengan cara yang melampau, hampir pasti ianya mengundang kemarahan kaum-kaum yang lain. Justeru, aktor-aktor politik perkauman ini harus berhati-hati dalam segala tindakan mereka. Bahkan mereka harus mengurangkan agenda-agenda perjuangan perkauman mereka yang tidak terlalu mendesak dan memfokuskan usaha untuk memastikan integrasi kaum di Malaysia akan tercapai. Provokasi dan retorik-retorik kosong untuk memancing pengaruh kaum masing-masing harus dihentikan daripada terus menjadi amalan. Ianya antara sumbangan terbesar ke arah perpecahan kaum di Malaysia.Kelima. Dasar Kerajaan Harus Diterangkan Dengan Lebih Jelas. Salah faham dan pandangan negatif kaum-kaum tertentu terhadap beberapa dasar kerajaan sebelum ini salah satunya berpunca daripada ketidakjelasan kaum-kaum ini terhadap agenda sebenar sesuatu dasar itu. Perkara ini harus diperbaiki. Jentera penerangan kerajaan harus mengoptimumkan usaha untuk memahamkan masyarakat berkenaan sesuatu dasar itu. Jika masyarakat mempunyai persepsi yang buruk terhadap sesuatu dasar kerajaan, pastilah dasar-dasar yang ingin dilaksanakan itu tidak mencapai matlamat akhirnya. Dalam hal ini, rancangan Bersama Menteri di RTM harus diberikan pujian. Melalui program-program sebegini, rakyat akan lebih jelas dengan sesuatu dasar dan agenda kerajaan. Sidang Parlimen harus disiarkan secara langsung terus menerus sepanjang sidang berlangsung. Ianya bagi membolehkan segala salah sangka rakyat dapat dihapuskan apabila mereka mengikuti sendiri proses penggubalan dasar itu. Namun, dari satu segi, kerajaan harus lebih terbuka dalam menerima teguran dan bantahan-bantahan rakyat berkenaan sesuatu dasar yang dicadangkan. Jika semua ini dapat diberi pertimbangan serius, usaha untuk menyatupadukan rakyat akan menjadi lebih mudah. Kesimpulannya, pelbagai pihak samada daripada agensi-agensi tertentu, universiti, pakar-pakar, orang-orang perseorangan dan lain-lain lagi telah tampil menyampaikan pandangan mereka untuk mengatasi masalah kaum di Malaysia sekali gus berhasrat untuk mewujudkan integrasi kaum yang utuh di Malaysia. Namun, jika pandangan mereka ini dipandang mudah oleh kerajaan maka, tidak mustahil integrasi kaum di Malaysia hanya tinggal retorik.....!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment