Tuesday, 9 September 2014

#PRK Pengkalan Kubor: PKR Beri Laluan PAS Bertanding.......!!!

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan parti itu memberi laluan kepada calon PAS untuk bertanding dalam PRK DUN Pengkalan Kubor pada 25 September ini. Dr Wan Azizah berkata, keputusan tersebut dibuat atas dasar bertolak ansur dan kesepakatan sesama parti komponen Pakatan Rakyat (PR) walaupun kerusi tersebut ditandingi mereka pada dua pilihan raya lalu. "PKR memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS bertanding Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur, mengambil kira perlunya sesama kita ini bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar," katanya dalam satu kenyataan. Minggu lepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Dr Wan Azizah secara terbuka dan mempersoalkan kelayakan beliau sebagai calon Menteri Besar Selangor. Bagaimanapun, Dr Wan Azizah menekankan lawan utama mereka ketika ini adalah UMNO dan BN, bukannya bercakaran antara satu sama lain dalam PR. "Saya percaya kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar Pakatan Rakyat terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan UMNO dan BN," katanya. Beliau berkata, isu semasa yang dihadapi rakyat ketika ini lebih penting, antaranya isu kenaikan harga barang dan penggunaan Akta Hasutan secara besar-besaran terhadap ahli politik PR, ahli akademik dan wartawan. "Rakyat kini berdepan dengan kenaikan harga minyak yang saya jangka akan diumumkan sebelum Belanjawan 2015, pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjelang April 2015, tangkapan dan pelbagai tindakan undang-undang khususnya di bawah Akta Hasutan selain adu domba perkauman dan keagamaan yang berterusan". "Untuk berdepan dengan UMNO dan BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam PR perlu dipertahankan agar kita bersatu menentang Umno/BN," katanya. PKR pada awalnya menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi tersebut, bagaimanapun PAS Kelantan berkeras berkata kerusi tersebut hanya dipinjamkan kepada PKR. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.

Monday, 8 September 2014

AKTA Hasutan: Lima Perkara Diteliti.......!!!

Lima elemen penting dalam mencapai keputusan sama ada mahu mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau menggantikannya dengan akta baru. Akta Keharmonian Nasional yang dikatakan bakal menggantikan akta yang diwujudkan sejak 1948 itu, perlu diteliti sebelum keputusan mengenainya dibuat. Lima elemen terbabit mencakupi kedudukan Institusi Raja-Raja, agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Keselamatan negara. Perkara utama dalam menggantikan akta ini adalah isi kandungannya dan bukan nama yang menjadi keutamaan. Perkara melibatkan akta berkenaan dianggap pengisian yang akan menentukan masa depan negara. Sebelum itu, Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata keputusan sama ada hendak mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat dengan penuh berhemah, terbuka tetapi dalam keadaan terkawal supaya negara terus harmoni.

Krisis MB Selangor: DAP & PKR Biadap dan Derhaka, Kata Istana.........!!!

Istana Selangor menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai "engkar" kepada titah Sultan yang meminta mereka mencalonkan lebih daripada dua nama sebagai calon MB. Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istana menganggap perbuatan kedua-dua parti itu sebagai "menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja" dan "merupakan perbuatan derhaka" kepada baginda. Dukacita dengan tindakan kedua-dua parti itu, beliau berkata PAS pula akur dengan permintaan baginda sultan seperti dalam surat bertarikh 27 Ogos lalu. "Manakala parti-parti DAP dan Keadilan telah masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor. "DYMM Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti-parti DAP dan Keadilan yang engkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014". "Tindakan parti DAP dan parti Keadilan ini menggambarkan kebiadapan kepada Institusi Raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah DYMM Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan. Sehingga tarikh akhir penyampaian nama calon kepada Istana 3 September lalu, PKR dan DAP hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. PAS pula mengemukakan dua senarai dan salah satunya senarai mempersembahkan tiga nama iaitu dua dari ADUN PKR dan satu dari partinya sendiri. Dalam kenyataannya juga, Mohamad Munir berkata titah Sultan Selangor supaya mengemukakan lebih dua calon MB adalah satu amalan/konvensi yang dilaksanakan baginda. Katanya, ini membolehkan baginda membuat pilihan calon yag mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Negeri serta mempunyai "kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut".

Sunday, 7 September 2014

#PRK Pengkalan Kubor: BN Cari Calon Terbaik.......!!!

BN akan mencari calon terbaik untuk menggalas cabaran parti mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil 25 September ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apa yang penting calon yang dikemukakan diterima pengundi dan faktor itu perlu diambilkira oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri serta UMNO Bahagian dalam mengenalpasti calon paling sesuai. "Saya sedang tunggu nama daripada Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed), mungkin Badan Perhubungan UMNO Negeri sudah buat penilaian calon yang sesuai, yang penting calon mesti diterima oleh pengundi". "Kalau dapat calon seperti (arwah) Datuk Noor Zahadi (Omar) lebih mudah...kita sedang cari calon terbaik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu. Sebelum ini Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dilapor akan mengumumkan nama calon BN bagi DUN Pangkalan Kubor pada 10 September. PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Noor Zahadi Omar pada 20 Ogos lepas, akibat kanser hati. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pengkalan Kubor akan diadakan pada 25 September dan hari penamaan calon ditetapkan pada 13 September, sementara pengundian awal pada 21 September. Menjawab mengenai hasrat PAS dan PKR untuk turut sama meletakkan calon pada PRK itu, Muhyiddin menyifatkannya sebagai perkara biasa, tetapi tidak boleh dipermudah. "Kita akan menghadapinya seperti biasa, tetapi tidak boleh dipermudah, strategi kita mungkin berbeza, kita lihat bila sampai masanya," katanya. PKR baru-baru ini dilapor turut menyuarakan hasrat untuk meletakkan calonnya pada PRK itu walaupun PAS telah mengumumkan untuk bertanding.

Krisis MB Selangor : Pemimpin PAS Kesal Dengan Tindakan Anwar.......!!!???

Tarikh untuk menghantar nama calon Menteri Besar Selangor sudah berakhir tetapi kemelut tersebut terus menemui jalan buntu kerana sehingga kini masih tiada jawapan berhubung siapa yang akan mengisi kerusi panas tersebut. Merumitkan lagi keadaan, PAS telah menghantar senarai calon dengan tiga nama kepada Sultan Selangor – kesemuanya terdiri daripada pemimpin PAS sekali gus mengetepikan nama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presidennya, Azmin Ali. Senarai nama tersebut telah diserahkan ke Istana oleh seorang pembantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan Presiden parti itu telah menghantar tiga nama kepada Sultan Selangor pada Rabu lalu untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat oleh PKR. Mustafa berkata, beliau dimaklumkan bahawa senarai nama tersebut terdiri daripada dua calon PKR (Wan Azizah dan Azmin) dan seorang daripada PAS. Namun, beliau mengakui tidak melihat isi kandungan surat tersebut. “Saya tidak melihat surat itu. Saya diberitahu bahawa Presiden menyenaraikan dua nama daripada PKR dan seorang daripada PAS,” katanya. Mustafa berkata, Hadi memasukkan nama ketiga bagi menghormati titah Sultan yang mencadangkan setiap parti Pakatan Rakyat menyenaraikan lebih daripada dua nama. Namun, sumber berkata, ketiga-tiga nama yang dihantar oleh Abdul Hadi adalah dari kalangan pemimpin PAS. Sumber mendakwa, nama-nama tersebut adalah Exco kerajaan negeri Selangor iaitu Iskandar Abdul Samad, Sallehin Mukhyi and Ahmad Yunus. Mustafa menguatkan lagi dakwaan itu dengan berkata;”Kami bukan saja menyenarai pendek ahli Exco. Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor layak untuk jawatan tersebut kecuali ADUN Hulu Kelang dan Morib (Saari Sungib and Hasnul Baharuddin).” Kedua-dua ADUN itu didapati melanggar disiplin parti kerana menandatangani akuan bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan Menteri Besar. Beberapa pemimpin PAS kesal dengan tindakan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaksa mereka untuk bersetuju menamakan isterinya sebagai calon tunggal bagi jawatan tersebut. “Kami tidak tahu permainan yang cuba dilakukan Anwar. Anwar tidak harus mencabar konvensyen dengan memaksa Sultan menerima isterinya sebagai calon tunggal untuk jawatan itu,” kata seorang pemimpin parti yang enggan namanya didedahkan. Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu bersetuju menamakan Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Khalid. Namun, Istana meminta PKR, DAP dan PAS untuk menghantar lebih daripada dua nama selepas Khalid menyerahkan surat peletakan jawatannya bulan lalu. Malah Sultan turut menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan. Difahamkan Istana tidak berminat untuk melantik seorang calon Menteri Besar umpama boneka yang dikawal oleh orang lain.

Monday, 1 September 2014

"MH 370' Ditemui Bersama Pemiliknya......!!!

Pemilik nombor pendaftaran kenderaan MH370 akhirnya ditemui. Seorang pesara tentera, Othman Ahmad, 68, adalah pemilik nombor pendaftaran tersebut, yang didaftarkan pada motosikal Honda C70 berusia 35 tahun. Nombor pendaftaran tersebut dicari kerana angkanya yang sama dengan kod pesawat MAS yang sehingga kini masih belum ditemui. Gambar nombor pendaftaran itu dimuatnaik ke laman Facebook, membuatkan ramai yang tertanya siapakah pemiliknya. Othman pernah ditawarkan RM500 oleh dua lelaki yang mahu membeli motosikal tersebut yang kini berada di bengkel anaknya untuk diperbaiki. Tawaran itu ditolak, namun Othman memberitahu bersedia melepaskan motosikal itu andai ditawarkan dengan harga yang setimpal. Othman bercadang menyalurkan wang hasil jualan motosikal itu kepada badan kebajikan.

PPS Pulau Pinang: Positif Dadah & Rekod Jenayah.........!!!

Tiga daripada 136 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang masih ditahan polis didapati positif ujian dadah jenis methamphetamine, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid. Beliau berkata, pemeriksaan polis juga mendapati beberapa anggota PPS yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan berada dalam senarai dikehendaki polis. Polis menahan 156 anggota PPS termasuk Pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri Phee Boon Poh. Bagaimanapun, dua puluh orang terdiri daripada tujuh wanita dan warga emas berusia lebih 60 tahun dibebaskan dengan jaminan polis. Mior Faridalatrash berkata proses mendapatkan perintah tahanan reman terhadap 136 anggota PPS sedang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut. "Sehingga pukul 1.30 tengah hari, proses reman masih dijalankan dan semuanya berjalan lancar," katanya. Tinjauan di IPD Timur Laut mendapati 20 peguam termasuk Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh Deo dan RSN Rayer memasuki IPD Timur Laut manakala keadaan di luar ibu pejabat polis itu sesak dengan orang ramai yang berkumpul.