Tuesday, 19 August 2014

Ketagih Internet Melemahkan Generasi Muda......!!!

Ketagihan internet kini dianggap satu bentuk ketagihan alaf baharu yang menular pantas di seluruh dunia khususnya dalam kalangan golongan muda. Isu yang berkait rapat dengan kesihatan mental itu boleh ditafsirkan secara ringkas sebagai, sejenis gangguan psikologi yang menjejaskan kawalan impuls diri sehingga seseorang menjadi terlalu akrab terhadap internet. Istilah lain yang digunakan ialah pergantungan kepada internet, ketagihan teknologi dan penggunaan komputer patologi. Isu itu diburukkan lagi dengan kemajuan teknologi telefon bimbit dan pelbagai jenis gajet pintar di pasaran yang menyebabkan ramai pengguna menghabiskan terlalu banyak masa dengan melayari laman sosial atau Social Networking Site (SNS) seperti laman Facebook (Fb), Instagram, WhatsApp, Keek, dan Twitter. Lebih membimbangkan, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan 72 peratus daripada 18.6 juta pengguna internet tempatan adalah golongan muda seawal usia mentah tujuh tahun hingga berusia 35 tahun. Rata-rata mereka mendapat akses mudah dari rumah, tempat kerja, institusi pengajian tinggi (IPT) atau gajet pintar, selain banyak kemudahan internet yang mudah dan pantas untuk komuniti luar bandar termasuk Pusat Mini Jalur Lebar Komuniti, Pusat Internet 1Malaysia dan Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia yang terdapat di seluruh negara. Namun demikian, masalah ini sebenarnya boleh ditangani melalui program intervensi yang dibimbing oleh para kaunselor. Kerjasama penyelidikan antara SKMM dengan sebuah universiti tempatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), mendapati ketagihan SNS berkait rapat dengan kesihatan mental iaitu tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan. Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ke Guek Nee turut mendedahkan bahawa 60 peratus daripada keseluruhan responden didapati mengalami simptom keresahan yang berpunca daripada ketagihan SNS. Beliau yang kini berkhidmat di Heriot-Watt University Malaysia, turut mengesahkan hubungkait antara penggunaan SNS dengan kesihatan mental, iaitu semakin ketagih seseorang itu terhadap SNS, semakin terjejas kesihatan mental mereka. “Keputusan analisis itu diperoleh daripada soal selidik terhadap 725 pelajar responden dari lapan IPT awam termasuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak”, jelasnya. Bagi beliau ketagihan internet adalah satu isu yang serius dan ramai yang tidak menyedari masalah itu. “Contohnya, jika seorang pengguna internet tidak dapat menggunakan SNS seperti Whatsapp dalam tempoh, katakan sehari sahaja, mereka akan merasa risau ekoran takut ketinggalan sekaligus menunjukkan simptom masalah kesihatan mental”, tambahnya. Selain menjejaskan kesihatan mental, beliau turut mengakui tabiat ramai golongan muda yang lebih suka meluangkan banyak masa dengan internet boleh membawa kesan negatif yang lain. “Ini termasuk tersisih daripada interaksi sosial bersemuka, tabiat makan yang tidak sihat, gangguan tidur, kurang aktiviti fizikal, tumpuan pelajaran atau kerja terjejas, yang akhirnya menjejaskan kesihatan fizikal”, tegas beliau. Penemuan beliau adalah satu daripada dua kajian IMU yang bertujuan mendapatkan bukti sahih kesan SNS dan penggunaan internet ke atas kesihatan mental remaja Malaysia dan bagaimana media sosial memberi kesan kepada hubungan sosial secara fizikal mereka. Satu lagi kajian yang dilakukan ialah program intervensi yang melibatkan sukarelawan yang sedar bahawa mereka mempunyai masalah ketagihan, dan bersedia untuk mengatasi masalah itu. “Program intervensi itu didapati membantu peserta untuk mengawal tekanan perasaan, keresahan dan terutama sekali kemurungan yang dialami akibat daripada ketagihan”, tambah Dr.Ke. Pendek kata internet memang akan sentiasa dekat dengan kita menyebabkan kita tidak boleh lari dari berdepan dengan kesan negatif yang boleh tercetus ekoran penggunaan SNS secara tidak berhemah seperti dibuli melalui pengguna ‘haters’ dan ‘trolls’, selain boleh menjejaskan keselamatan apabila menjadi mangsa penipu dan pengendap dalam talian. Justeru, dapat disimpulkan bahawa kajian saintifik membuktikan potensi mudarat yang dibawa melalui penggunaan internet berupaya melemahkan generasi akan datang malah boleh menjejaskan keselamatan diri dan komuniti. Bimbang dengan potensi mudarat yang dibawa oleh internet terhadap masa depan rakyat, kerajaan melalui SKMM, melipatganda lagi inisiatif bagi mengurangkan impak negatif penggunaan internet melalui program ‘Klik Dengan Bijak’ (KDB) yang lebih proaktif dan positif. Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar menyedari bahawa isu ketagihan internet tidak terhad kepada pelajar di kawasan bandar yang mempunyai akses mudah kafe siber, Wifi percuma dan seumpama. “Sebaliknya isu ketagihan dan keselamatan siber ini dibimbangi turut mempengaruhi jiwa pelajar luar bandar yang kini mempunyai akses mudah kepada internet”, kata beliau. Oleh itu, beliau menekankan kepentingan orang awam untuk menyedari masalah ini dan mengetahui pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengatasinya. Ini sekaligus menjadikan sasaran utama program KDB ialah pembinaan jati diri untuk golongan remaja dan kanak-kanak dengan mengguna pendekatan yang ‘cool’ dan menyeronokkan. “Generasi muda amnya tidak suka ditegur, jadi pendekatan terhadap isu itu perlu dilakukan secara lembut dan sensitif yang lebih sesuai dengan keperluan mereka”, akui Eneng Faridah sambil memainkan beberapa iklan video menarik yang dimuat naik ke dalam akaun FB KDB. Selari dengan prinsip Rukun Negara, KDB memberi fokus melalui tiga pendekatan utama iaitu mendidik pengguna mengguna internet dengan selamat, mengingatkan pengguna untuk sentiasa berwaspada terhadap semua aspek interaksi online serta memgalakkan penggunaan internet secara positif sahaja. Beliau mengingatkan golongan muda betapa pentingnya untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi, tidak berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali serta menjaga tingkah laku dan berfikir secara rasional sebelum menaip sesuatu ke dalam internet. Amnya, KDB membantu mendidik golongan muda untuk mengesan bahaya, membezakan perkara yang betul dan salah, sedar akan akibat yang perlu dihadapi daripada pilihan cara penggunaan internet dan seumpamanya. “Paling penting peserta program KDB turut dididik dengan cara selamat untuk mendapatkan bantuan jika mereka menghadapi masalah yang berpunca dari penggunaan internet”, tambah beliau. Apapun, kerajaan hanya mampu mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan melalui SKMM, sedangkan tugas sebenar untuk menghalang penggunaan internet berlebihan terletak kepada pendekatan asuhan ibu bapa kepada anak mereka. Justeru Eneng Faridah turut menggalakkan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau penggunaan internet dan SNS anak mereka. “Program KDB juga membantu ibu bapa memahami isu keselamatan dalam penggunaan internet serta cara mengenalpasti tingkahlaku anak yang mungkin terlibat dalam isu itu”, tambahnya. Selain aktif dalam laman sosial FB, SKMM mempunyai enam Pejabat Wilayah di seluruh negara yang membolehkan mereka menyampaikan pelbagai aktiviti menarik untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber kepada golongan sasaran dengan kerjasama pelbagai pihak. Melalui kerjasama dengan pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara misalnya, mereka telah memasukkan topik keselamatan penggunaan internet ke dalam Modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selain mengadakan ‘Roadshow KDB’ di kem-kem terpilih PLKN. “Peserta PLKN yang berusia antara 18 hingga 20 tahun adalah golongan sasar terbaik untuk dipupuk dengan keselamatan siber sebelum mereka mula terjebak dengan ketagihan SNS”, jelas Eneng Faridah. Antara aktiviti itu ialah kempen ‘Be Smart’ hindari jenayah komersial bersama PDRM, perkhemahan tahunan bersama Persatuan Pengakap Malaysia dan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menganjurkan sesi latihan dengan pakar luar negara, Wisekids UK serta seminar Pelan Tindakan Kebangsaan Untuk Melindungi Kanak-kanak Dalam Talian.

Khalid Sokong Wan Azizah Sebagai MB.......!!!

Kemelut Menteri Besar di Selangor bakal menyaksikan kejutan di luar jangkaan apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin membuat ‘pusingan U’ dengan membenarkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengambil alih jawatannya. Ini kerana Menteri Besar itu enggan memberi laluan kepada Timbalan Presiden, Azmin Ali untuk menggantikannya, kata sumber terdekat kepada Khalid. “Saya percaya Khalid sanggup mengalah kepada Wan Azizah dan akan mengatur beliau (Wan Azizah) menghadap Sultan,” kata sumber itu yang juga ahli PKR. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak permintaan Wan Azizah untuk menghadap baginda pada awal bulan ini. Menurut sumber, Khalid mungkin tidak akan memohon untuk membubarkan DUN bagi melancarkan proses peralihan kuasa di antara beliau dan Wan Azizah, isteri kepada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Khalid yang enggan meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Wan Azizah dipecat oleh parti pada minggu lalu. PAS pada Ahad sebulat suara memutuskan untuk tidak menyokong Khalid sebagai Menteri Besar tetapi meminta nama Azmin dicalonkan bersama dengan Wan Azizah bagi jawatan tersebut. Azmin mengisytiharkan bahawa beliau menghormati keputusan parti untuk hanya mengemukakan nama Wan Azizah. Bekas Setiausaha politik Khalid, Faekah Husin berkata Wan Azizah mahupun Azmin tidak mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Menteri Besar. “Adalah baik untuk mengadakan forum bagi mengetepikan kebaikan dan keburukan daripada mempunyai salah seorang daripada mereka sebagai Menteri Besar,” katanya. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, beliau yakin Khalid akan ‘berjuang hingga ke penghujungnya’. “Jika beliau masih gagal menghalang Azmin untuk mengambil alih jawatan itu, Khalid boleh memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN,” katanya.

Monday, 18 August 2014

Hadi: Terserah Kepada Sultan Selangor......!!!

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada Sultan Selangor sama ada memperkenan atau sebaliknya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Musyidul Am Pas, Abdul Hadi berkata, parti boleh mengemukakan sesiapa sahaja sebagai calon bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun keputusan akhir tetap berada di tangan Sultan. Ujarnya lagi, PAS menerima apa sahaja keputusan Sultan termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Tapi kita berharap perkara seperti itu tidak berlaku,” katanya. Abdul Hadi bertemu dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menjelaskan keputusan yang dibuat mesyuarat PAS Pusat. Dalam mesyuarat lebih sejam itu, PAS Pusat yang sebelum ini menyokong kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat pusingan U-turn dengan bersetuju Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar yang baharu. PKR bagaimanapun memutuskan hanya Wan Azizah akan dicalonkan bagi menggantikan Abdul Khalid bagi jawatan itu.

Tropicana : PKR & DAP Jadi Kroni Vincent Tan......!!!???

Facebooker pro Pakatan Rakyat, Ally Hazran Hashim mendedahkan kes sebenar di sebalik Tropicana yang menjadi salah satu sebab Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat keahlian PKR. Pada April 2013, di saat menghadapi PRU13, sekeping tanah seluas 1,172 ekar, berdekatan dengan Kota Kemuning, Putra Heights dan Bandar Rimbayu yang mempunyai akses dengan 4 lebuhraya utama – telah dijual kepada Tropicana dengan harga RM1.297 bilion dan akan dibayar dalam tempoh 20 tahun. Tidak sampai 10 bulan kemudian iaitu pada Jan 2014, Tropicana menjual hanya 25% daripada keluasan tanah tersebut (308.72 ekar) kepada Eco World dengan harga RM470.67 juta, (tunai). Pada masa itu, bayaran yang dibuat kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui PNSB hanyalah deposit sebanyak RM50 juta. Bila mengetahui hal ini, Khalid mengamuk dan meminta Tropicana membayar RM844.2 juta. Tidak perlu bayar RM1.3 billion untuk tempoh 20 tahun. Adakah Khalid kena tipu dalam hal ini ? Siapa pemilik Tropicana? Tropicana dimiliki oleh Tan Sri Datuk Danny Tan (Adik Vincent Tan) pemilik Berjaya Group. SOALAN: Adakah Khalid bersekongkol dengan UMNO ? Tunggu sekejap. Semasa tender dibuka, tiga syarikat telah membuat tawaran. Tropicana telah membuat tawaran menerusi syarikat proksi, Dijaya Corporation yang menawarkan RM895 juta dan dibayar untuk tempoh 20 tahun. Kedua, SP Setia menawarkan RM1.15 billion dan dibayar untuk tempoh 6-8 tahun sahaja. Ketiga, Mah Sing Group menawarkan RM945juta dan dibayar dalam tempoh 7 tahun. Kalau ikutkan syarat tender, yang dapat ialah SP Setia dan bukan Dijaya Corporation. Tapi Dijaya Corp secara diam-diam telah diminta untuk menaikkan harga tawaran mereka kepada RM1.3 billion secara rahsia. Macam mana perkara ini boleh berlaku? Kerana Dijaya Corp mempunyai kabel yang cukup besar dalam PR. Azmin Ali, Teresa Kok dan Ronnie Liu. Lebih menarik lagi, Dijaya Corp telah menyumbang sebanyak RM200 juta kepada Pakatan Rakyat Selangor untuk menghadapi PRU13. Paling menarik, Azmin sebagai Pengarah Pilihanraya PKR mengugut untuk menggugurkan Khalid dari dicalonkan sekiranya Khalid membantah tetapi kalau setuju, akan diletakkan di kerusi DUN Pelabuhan Kelang. Mengapa DAP juga turut menyokong Azmin untuk menyingkir Khalid? Vincent Tan sekarang sudah jadi kroni DAP. Dia sekarang sedang menyiapkan beberapa projek di Pulau Pinang. Diantaranya, GDV Bayan Mutiara Penang World City Project bernilai RM10 billion. (Vincent Tan memperolehi tanah dengan harga murah, RM240 sekaki persegi dan hanya dibayar dalam tempoh 5 tahun). Vincent Tan juga ada projek membina IKEA Batu Kawan menerusi Ivory Properties. Vincent Tan juga terlibat dalam membangunkan semula Penang Turf Club yang bernilai berbilion ringgit.

NGO Desak Bubar DUN Untuk Selesaikan Krisis MB Selangor......!!!

Pengerusi Gerak Rakyat Arus Bawahan Selangor (GRABS), Mohd Faisal Idris mendesak agar krisis Menteri Besar Selangor diselesaikan dengan cara DUN Selangor dibubarkan. Mohd. Faisal berkata, PKR tidak seharusnya melanggar undang-undang yang memihak kepada mereka jika ia memberi kesan kepada parti itu. "Bukan set perundangan yang boleh di sana tidak boleh guna di sini. Kita berharap pihak yang berkaitan mesti merujuk kepada satu set perundangan yang diinterpretasi secara jelas dan tuntas". "Kalau situasi di Perak, ketika itu mereka kata tidak betul, mesti buat pilihan raya negeri tetapi bila di Selangor lain pula jadinya. Ini pelik," katanya ketika melancarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) GRABS di Dataran Shah Alam. Beliau turut mengiystiharkan bahawa beliau kini keluar PKR dan akan menggerakkan GRABS untuk menjelajah ke seluruh Selangor berjumpa dengan rakyat bagi menjelaskan isu Menteri Besar Selangor. Menurut Faisal, GRABS akan memulakan jelajah ke seluruh Selangor bermula di Sabak Bernam untuk menjelaskan isu-isu semasa berkaitan konflik jawatan Menteri Besar Selangor. "Anwar Ibrahim telah melanggar Deklarasi Permatang Pauh yang jelas menyatakan anti nepotisme, anti kronisme, menegakkan keadilan". "Keadilan apa yang kamu beri kepada Abdul Khalid sedangkan Anwar sendiri diberikan ruang sebanyak 67 kali dalam kes beliau," katanya.

Sunday, 17 August 2014

Alor Setar: Ikan Kerapu Seberat 152kg......!!!

Ramai orang berbondong-bondong ke restoran makanan laut untuk mengambil gambar 'selfie' dengan ikan kerapu seberat 152kg, yang telah menjadi tarikan selepas ia dibeli daripada pemborong pada harga RM9,120. Ikan dengan ukuran panjang 2.1 meter ini memerlukan seramai empat orang untuk mengangkatnya sebelum dipamerkan kepada pengunjung di Restoran Makanan Laut Hai Jing di Jalan Mahdali di Alor Setar. Dikenali sebagai 'loong tan' atau kerapu Harimau, pemborong ikan Ng Kong Yoong, 37, berkata ini adalah tangkapan terbesar yang diperolehinya sejak memulakan perniagaan di Kuala Kedah, tiga tahun lalu. "Nelayan saya menangkap ikan tersebut pada Khamis pagi di perairan Kuala Kedah. Kami bertuah kerana sebelum ini kami tidak pernah menangkap ikan sebesar ini. Biasanya semua ikan yang kami tangkap lebih kecil dengan berat kurang dari 100 kilogram," katanya. Ng kemudian menjualnya kepada restoran tersebut dengan harga RM9,120. "Saya menolak tawaran yang lebih tinggi dari restoran-restoran lain. Pemilik restoran ini adalah kawan saya dan saya akan merasa isi ikan ini nanti."

TS Khalid Terima Keputusan PAS, Mohon Menghadap Sultan Selangor.......!!!

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akur dengan keputusan PAS yang akhirnya menyatakan pendirian menolak beliau daripada terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor. Sehubungan itu, Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu. "Saya menerima dengan hati terbuka keputusan PAS berkenaan status Menteri Besar dan barisan Exco Selangor. "Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya," katanya. Khalid berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat yang memutuskan bahawa parti itu mahu kedudukan beliau digantikan. Mesyuarat pada 17 Ogos menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain mencadangan calon kedua untuk jawatan sama iaitu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. Perkembangan itu juga menyaksikan Khalid hilang sokongan majoriti di dalam DUN Selangor apabila kesemua 43 ADUN Pakatan Rakyat menolak beliau sebagai Menteri Besar. Keputusan itu sekaligus menolak pendirian dan sokongan yang dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mahu Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor. Bagaimanapun Khalid hanya akan menghadap Sultan Selangor selepas 27 Ogos ini setelah baginda pulang ke tanah air. "Sehingga Tuanku Sultan (Selangor) membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor bersama empat ahli Exco daripada PAS. "Kami akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini," katanya.