Thursday, 9 January 2014

Demontrasi Tidak Mampu Selesai Masalah Rakyat.......!!!

Cetusan kekacauan di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan Sambutan Tahun Baru 2014 di sana terpaksa dibatalkan merupakan catatan hodoh lanskap politik negara. Ketika kita mengharapkan tahun baru 2014 akan memberi ketenangan politik buat seketika selepas PRU13, ternyata ia hanyalah impian palsu semata. Walaupun keputusan PRU telah diperoehi dan diiktiraf oleh dunia, parti pembangkang masih lagi tidak habis-habis mencipta pelbagai cara untuk terus memburukkan situasi dan keadaan negara kita. Antara tindakan yang paling gemar dilakukan oleh pembangkang adalah mengadakan demonstrasi atau protes jalanan supaya keadaan menjadi huru-hara dan menampakkan salah pihak-pihak tertentu seperti pihak Polis misalnya. Pembangkang sering mengambil peluang untuk mencetuskan kekecohan dengan mengadakan perhimpunan Turun Harga Barang yang kemudiannya menjadi himpunan gulingkan kerajaan berdasarkan poster dan T-shirt yang dipakai mereka. Tujuan utama perhimpunan guling kerajaan ini diadakan adalah tidak lain hanyalah untuk meniupkan angin kebencian rakyat terhadap kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak. Isu yang digunakan oleh parti pembangkang adalah isu kenaikan harga yang dilakukan oleh kerajaan sejak berjaya memenangi majoriti kerusi pada PRU13. Isu yang dimainkan oleh parti pembangkang ini adalah isu yang tidak berlandaskan cara yang betul di mana mereka memberikan fakta yang salah dan tidak tepat kepada rakyat yang seterusnya membangkitkan rasa benci kepada kerajaan. Mereka memberi tanggapan seolah-olah Kerajaan boleh menentukan naik turunnya kos sara hidup. Apabila parti pembangkang berjaya menyebarkan fitnah dan bohong kepada rakyat, sebahagian rakyat mudah terpedaya dengan sentimen emosi yang akhirnya menyaksikan demontrasi jalanan tanpa mengikut undang-undang. Inilah tindakan parti pembangkang yang selalunya dilakukan dalam usaha untuk terus merosakkan negara Malaysia ini. Kumpulan ini akan terus mengadakan kekacauan dan huru-hara sepertimana di Thailand sehingga kehendak mereka dipenuhi. Di Thailand, biar pun Perdana Menteri telah mengisytiharkan untuk mengadakan pilihan raya umum Februari ini bagi mengatasi masalah demontrasi, namun mereka terus mendesak parti memerintah melepaskan kuasa, mereka masih meneruskan dengan mahu memaksa Perdana Menteri sedia ada jangan bertanding. Jumlah mereka tidak sampai 5% daripada jumlah rakyat Thailand, namun kegigihan mereka melakukan tekanan menyebabkan kerajaan yang lemah tunduk kepada tekanan. Kumpulan yang mengadakan demontrasi di Thailand juga sudah berdekad tidak menang pilihan raya. Namun mereka masih beranggapan kerajaan perlu dengar cakap mereka kerana mereka adalah bijak pandai pelajar universiti, rakyat kelas menengah dan elit. Di negara ini juga tiada bezanya, cuma kerajaan BN tegas menguatkuasakan undang-undang sedia ada mengelak kumpulan minoriti menentukan perjalanan kerajaan. Lihat sahaja himpunan tunjuk perasaan yang selama ini diadakan oleh parti pembangkang seperti Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Himpunan Blackout 505 dan banyak lagi. Pembangkang berjaya mempergunakan rakyat hinggakan rakyat terpaksa menerima beban seperti ditahan oleh pihak berkuasa kerana berkelakukan ganas pada hari perhimpunan. Bukan itu sahaja, parti pembangkang terbaik dalam menggunakan generasi muda terutama sekali golongan pelajar-pelajar yang masih lagi menuntut di institusi pengajian tinggi untuk turun bersama-sama mengadakan protes dan tunjuk perasaan. Apabila mereka bersama mengikuti demonstrasi tersebut, ia akan menjejaskan kredibiliti dan nama mereka sebagai pelajar yang berwibawa untuk menjadi pemimpin negara di masa hadapan. Ini kerana, nama mereka telah tercatat di dalam rekod sebagai individu yang pernah mencuba merosakkan imej dan nama Malaysia. Sudahlah meniupkan api marah dan benci dalam diri rakyat Malaysia, parti-parti di bawah Pakatan Pembangkang juga memberikan galakkan untuk rakyat melakukan perkara yang langsung tidak menampakkan rasa semangat cinta dan sayangkan negara. Sebagai contoh, PAS Melaka menyokong usaha beberapa (NGO) menganjurkan perhimpunan guling kerajaan ini. Malah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga berkata tindakan rakyat turun mengadakan himpunan itu sebagai langkah yang dipersetujui bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat. Ini semua temberang dan pembohongan melampau politik semata. Mana ada dalam sejarah manusia masalah rakyat diselesaikan melalui demontrasi? Sebaliknya pembangkang memberi gambaran masalah rakyat boleh diselesaikan melalui demontrasi jalanan. Akhirnya, pakatan pembangkang hari ini sekadar menjadi parti yang hebat dalam melahirkan perosak negara. Yang mendapat kesan buruk adalah rakyat, manakala, pemimpin pembangkang menerima pujian yang baik atas dasar kononnya memperjuangkan masa depan rakyat untuk menjaga negara. Kebenarannya, sudah banyak manfaat dan kebaikan yang telah kerajaan berikan kepada mereka. Namun, ia tidak pernah dihargai oleh parti pembangkang mahu pun rakyat. Hakikatnya, tidak pernah dalam sejarah manusia, demontrasi boleh menyelesaikan masalah rakyat. Ratusan ribu mengadakan tunjuk perasaan menjatuhkan Presiden Haji Muhammad Soeharto di Indonesia sebagai membantah kenaikan petrol dan kos sara hidup. Mereka menukar sistem Presiden Indonesia kepada maksimum dua penggal ala Amerika Syarikat sebagai sistem yang ideal dan syumul dalam demokrasi ala barat. Namun, selepas 4 Presiden silih berganti, negara Indonesia masih dibelengu kemiskinan, kos sara hidup tetap tinggi, jurang antara kaya dan miskin lebih teruk dari zaman Soeharto, harga petrol terus naik, harga elektrik terus naik, tol masih dikenakan, jalan masih macet (sesak) dan Indonesia masih pengeksport tenaga kerja murah. Inilah hakikat yang enggan dilihat dan didengar oleh mereka yang telah membulat tekad menyalahkan kerajaan BN atas apa sahaja masalah kehidupan mereka. Dengan menolak untuk mengkaji dan menerima kenyataan, mereka bukan sahaja tidak berlaku adil dan jujur kepada BN malah kepada diri mereka sendiri......!!!

Wednesday, 8 January 2014

Maqasid Akidah PAS Semakin Longgar.........!!!???

Memang benar kata Datuk Mahfuz Omar bahawa dari kaca matanya, tiada masalah perpecahan di kalangan umat Islam yang berlaku di Malaysia hari ini. Malah, beliau juga benar apabila mengatakan bahawa isu ini sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk “memaksa” pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS bermuzakarah. "Seolah-olahnya kita berhadapan soal masalah besar. Apa masalah dan isu besar yang hendak muzakarah? Soal perpaduan ummah, bila perpaduan ummah itu menjadi masalah? Apa perpecahan yang berlaku dalam masyarakat Islam? "Masyarakat Islam tidak berpecah kalau diberikan ruang sebenarnya untuk semua pihak mendengar maklumat yang jelas," katanya. Mahfuz juga benar apabila menyimpulkan bahawa kepentingan politik rakyat keturunan Cina tidak mengancam kedudukan dan kelangsungan politik dan ekonomi orang Melayu-Islam. Beliau juga benar apabila membuat kenyataan sedemikian bersandarkan pandangan peribadinya yang menjurus untuk mengatakan tidak perlu diadakan muzakarah di antara PAS dan UMNO. Ini mungkin kerana sebagai orang politik, secara peribadi Mahfuz berasa agak selesa dengan status quo politik di antara kaum dan agama di Malaysia hari ini. Mujur beliau tidak bercakap sebagai menyatakan suara rasmi PAS. "Tidak, saya tidak nampak satu keperluan sebab Matmerapu tidak melihat ada masalah perpecahan. "Ancaman daripada orang Cina terhadap orang Islam itu semua propaganda, ia tidak ada ancaman pun," katanya. Pendek kata, bagi Mahfuz orang Cina tidak pernah mengancam atau menggugat kepentingan orang lain, terutama Melayu-Islam. Ini persoalannya. Keyakinan Mahfuz ini adalah satu aliran pemikiran baru di kalangan pemimpin PAS tertentu. Suatu ketika dahulu ahli dan penyokong PAS langsung tidak “sebulu” dengan DAP. Namun sekarang keadaan sudah berbeza. Dulu, PAS menganggap DAP itu musuh nyata bagi PAS. Secara terang-terangan DAP menentang objektif PAS berpolitik untuk mewujudkan Negara Islam. DAP malah beriltizam untuk menentang PAS melaksanakan hukum Islam di Malaysia. UMNO bagi PAS, adalah saingannya di segi politik. Sejak mula penubuhannya PAS menganggap UMNO jahil dan lemah penghayatan Islamnya. Oleh itu PAS menawarkan diri untuk menjadi alternatif kepada UMNO. Namun kini keadaan berubah. Sejak 2008 apabila mula dilingkari pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim, pandangan pemimpin PAS seperti Mahfuz sudah banyak berubah. Ketidakpuasanhati PAS umumnya terhadap UMNO ialah soal penghayatan Islamnya. Pusar ketidakselesaan PAS terhadap UMNO ialah persepsi jenayah dan pecah amanah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO. Namun perbezaan nyata PAS dengan DAP ialah soal akidah. DAP langsung tidak mahu PAS menterjemahkan dan melaksanakan tuntutan akidah Islamnya. Ini bukan satu fitnah atau propaganda. Ia satu hakikat. Namun asuhan Anwar Ibrahim mengubah segalanya bagi pemimpin PAS seperti Mahfuz Omar. Perbezaan akidah PAS dengan DAP bukan lagi masalah. Sebaliknya didorong oleh persepsi bahawa UMNO itu penjenayah, ia menjadi hujah baru bahawa UMNO itu musuh lebih besar bagi PAS. Walhal jika pemimpin PAS seperti Mahfuz ada wawasan politik sudah tentu beliau boleh mengunjurkan betapa jika terus digilap kebencian terhadap UMNO, jurang perbedaan di antara penyokong parti Melayu Islam itu dengan PAS sudah pasti ia akan mendorong kepada perpecahan yang melebar dan parah. Betapa tidaknya jika polarisasi untuk “menghalalkan berkesedudukan politik dengan DAP” digalakkan dengan alasan UMNO itu penjenayah yang mesti ditumbangkan sudah pasti ia akan meracuni ahli dan penyokong PAS sendiri kerana mereka akan menjadi “tidak jijik” dengan amalan mencemarkan akidah! Pemimpin seperti Mahfuz mahu menghirup kejayaan politik ketika hayatnya berpolitik tanpa memberi keutamaan kepada usaha mengelak bencana lebih besar yang bakal berlaku pada masa depan. Kurang sensitif politik dan agama ini makin jelas apabila PAS dilihat tidak berani dan kurang mampu untuk mengambil pendirian tegas terhadap DAP yang kini semakin mencabar ruang pemikiran dan amalan agama Melayu-Islam. Isu mahu meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran Kepada umat Islam) 1988 Selangor adalah dalil bahawa sikap dan pandangan seperti Mahfuz ini akan terus merangsang DAP menyanggah penzahiran akidah PAS dan pengikutnya. Mujur Mahfuz mengakui bahawa pandangan tidak perlu ada muzakarah di antara PAS dan UMNO itu hanya pandangan peribadinya sendiri dan bukan mencerminkan pendirian PAS. Jika tidak di mana letaknya nilai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS bersedia bermuzakarah dengan UMNO dalam isu membabitkan kepentingan Islam dan umatnya. Oleh kerana tiada pemimpin PAS lain yang mengulas kenyataan Mahfuz ini, dan apatah lagi tiada tindakan disiplin diambil ke atas bekas Naib Presiden PAS itu, bolehlah disimpulkan bahawa PAS bersetuju dengan Mahfuz! Jika benar demikian, maka seharusnyalah PAS beristighfar dan bertaubat kerana lebih cenderung bersahabat dengan kafir DAP dan bersekongkol memujuk umat Islam terbabit dengan isu jenayah akidah daripada usaha berdakwah memberi pencerahan keutamaan atau maqasid akidah kepada penyokong PAS.

Tuesday, 7 January 2014

Cadangan Penyelesaian Konflik Kaum.......!!!

Kita semua percaya, walau sekuat manapun sentimen perkauman yang wujud di dalam hati masyarakat Malaysia, jauh di sudut hati mereka, pasti terselit impian untuk hidup di dalam sebuah negara yang erat integrasi kaumnya. Justeru, tidak dapat tidak, kita harus berlapang dada untuk memberi dan menerima sesama sendiri di dalam beberapa perkara, demi untuk mencapai impian bersama ini. Apa yang bakal dicadangkan ini bukanlah suatu bentuk penyelesaian terbaik, namun mungkin boleh difikirkan, bagi memastikan integrasi kaum di Malaysia menjadi realiti.Pertama.Fahami Sejarah Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini adalah permulaan kepada usaha yang selanjutnya. Seharusnya semua kaum di semua peringkat umur di Malaysia memahami sejarah negara ini. Bagaimana asalnya negara ini dari segala segi, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Kemudian bagaimana negara ini berevolusi menjadi sebuah negara yang majmuk seperti apa yang ada pada hari ini. Transformasi itu harus difahami sedalam-dalamnya oleh semua rakyat Malaysia. Seterusnya, Perlembagaan Persekutuan juga harus difahami dengan jelas dari aspek falsafah dan juga sejarah yang membawa kepada peruntukan-peruntukan yang wujud di dalam perlembagaan tersebut. Jika semua ini dapat dilaksanakan, kita semakin menuju ke arah integrasi kaum yang sebenar di Malaysia.Kedua. Kurangkan Perbezaan, Banyakkan Persamaan. Kita juga seharusnya mengurangkan dengan serius perbezaan-perbezaan antara kaum-kaum di Malaysia. Garis pemisah antara kaum sedaya upaya harus dikecilkan. Misalnya, kurangkan organisasi-organisasi politik dan sosial yang berteraskan kaum. Kenapa perlu ada Dewan Perniagaan Melayu? Cina? India? bukankah lebih baik jika kita adakan Dewan Perniagaan Rakyat Malaysia?. Dalam soal ini, perbezaan dari segala segi ini seharusnya dikurangkan. Bahkan harus kita cari titik persamaan yang lebih banyak antara kaum-kaum di Malaysia. Dengan adanya persamaan yang banyak, mungkin konsep bangsa Malaysia bukan lagi sekadar menjadi impian. Dalam menjana usaha ini, mentaliti dan sikap perkauman yang sempit juga harus diubah. Dengan paduan pengetahuan sejarah, kita harus bersifat realistik. Negara ini bukanlah milik kita seorang, tetapi ianya telah dijanjikan di dalam kontrak sosial bahawa negara ini milik bersama, milik semua kaum di Malaysia. Justeru, seperti yang dinyatakan tadi, kita harus mencari persamaan itu sebanyaknya dan mengurangkan perbezaan antara kita sebolehnya.Ketiga. Transformasi Sistem Pendidikan. Hal ini juga mungkin boleh difikirkan. Kita semua sedia maklum, pendidikan khususnya di peringkat sekolah rendah merupakan platform terbaik untuk memupuk integrasi kaum di Malaysia, justeru mengapa selepas 50 tahun medeka, kita masih mengamalkan sistem pendidikan yang memisah-misahkan kaum di dalam negara kita? Seharusnya kita mengumpulkan anak-anak ini di bawah satu bumbung supaya mereka saling kenal mengenal dari segala segi dengan lebih rapat lagi. Agar apabila mereka sudah dewasa kelak, kerukunan hidup bersama rakan-rakan di sekolah yang berbilang kaum itu akan terus dipelihara dan dipraktikkan. Mungkin usaha untuk mewujudkan hanya satu sistem persekolahan di Malaysia merupakan suatu perkara yang agak mustahil, namun kerajaan masih boleh memikirkan alternatif lain untuk mengumpulkan pelajar-pelajar sekolah ini di bawah satu bumbung, misalnya sebagai contoh, hanya membenarkan calon UPSR mengambil ujian tersebut di sekolah-sekolah aliran kebangsaan sahaja, dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan hanya menawarkan khidmat pendidikan sehingga darjah lima sahaja. Pada darjah enam, semua pelajar diwajibkan belajar di sekolah-sekolah aliran kebangsaan. Silibus pendidikan juga harus dibuat rombakan sedikit sebanyak, daripada hanya mementingkan subjek-subjek sains tulin di sekolah-sekolah rendah, kerajaan juga harus memberi penekanan yang lebih kepada subjek-subjek yang berteraskan sains sosial seperti budaya dan sejarah. Supaya pendedahan di peringkat awal ini akan mengukuhkan kefahaman mereka terhadap kepelbagaian yang wujud di Malaysia ini.Keempat. Kurangkan Agenda Politik Perkauman. Politik perkauman sedikit sebanyak mempunyai kepentingannya yang tersendiri kepada perhubungan kaum di Malaysia. Namun, jika ianya diperjuangkan dengan cara yang melampau, hampir pasti ianya mengundang kemarahan kaum-kaum yang lain. Justeru, aktor-aktor politik perkauman ini harus berhati-hati dalam segala tindakan mereka. Bahkan mereka harus mengurangkan agenda-agenda perjuangan perkauman mereka yang tidak terlalu mendesak dan memfokuskan usaha untuk memastikan integrasi kaum di Malaysia akan tercapai. Provokasi dan retorik-retorik kosong untuk memancing pengaruh kaum masing-masing harus dihentikan daripada terus menjadi amalan. Ianya antara sumbangan terbesar ke arah perpecahan kaum di Malaysia.Kelima. Dasar Kerajaan Harus Diterangkan Dengan Lebih Jelas. Salah faham dan pandangan negatif kaum-kaum tertentu terhadap beberapa dasar kerajaan sebelum ini salah satunya berpunca daripada ketidakjelasan kaum-kaum ini terhadap agenda sebenar sesuatu dasar itu. Perkara ini harus diperbaiki. Jentera penerangan kerajaan harus mengoptimumkan usaha untuk memahamkan masyarakat berkenaan sesuatu dasar itu. Jika masyarakat mempunyai persepsi yang buruk terhadap sesuatu dasar kerajaan, pastilah dasar-dasar yang ingin dilaksanakan itu tidak mencapai matlamat akhirnya. Dalam hal ini, rancangan Bersama Menteri di RTM harus diberikan pujian. Melalui program-program sebegini, rakyat akan lebih jelas dengan sesuatu dasar dan agenda kerajaan. Sidang Parlimen harus disiarkan secara langsung terus menerus sepanjang sidang berlangsung. Ianya bagi membolehkan segala salah sangka rakyat dapat dihapuskan apabila mereka mengikuti sendiri proses penggubalan dasar itu. Namun, dari satu segi, kerajaan harus lebih terbuka dalam menerima teguran dan bantahan-bantahan rakyat berkenaan sesuatu dasar yang dicadangkan. Jika semua ini dapat diberi pertimbangan serius, usaha untuk menyatupadukan rakyat akan menjadi lebih mudah. Kesimpulannya, pelbagai pihak samada daripada agensi-agensi tertentu, universiti, pakar-pakar, orang-orang perseorangan dan lain-lain lagi telah tampil menyampaikan pandangan mereka untuk mengatasi masalah kaum di Malaysia sekali gus berhasrat untuk mewujudkan integrasi kaum yang utuh di Malaysia. Namun, jika pandangan mereka ini dipandang mudah oleh kerajaan maka, tidak mustahil integrasi kaum di Malaysia hanya tinggal retorik.....!!!

Kaum India Terpinggir Paling Aktif Dalam Samseng......!!!???

Kajian terbaru Kementerian Dalam Negeri menjelaskan bahawa kaum India adalah paling aktif dalam kegiatan samseng. Menurut kajian tersebut, jumlah ahli kongsi gelap di Malaysia adalah melebihi 40,000 di mana kaum India mendahului dengan 29,000, di ikuti Cina dan Melayu masing-masing 8,300 dan 2,000. Walaupun, kaum India hanya merangkumi kurang lapan peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, kaum tersebut mendahului carta yang dikeluarkan oleh polis. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mac 2009, melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dilaporkan berkata terdapat kira-kira 100,000 orang, majoritinya belia India terlibat dalam kegiatan samseng. Kenyataan beliau bagaimanapun disangkal oleh Ketua Pemuda MIC, T Mohan. Ramai pemimpin dari kalangan India melahirkan hasrat untuk mengadakan program khas bagi menangani masalah tersebut. Namun, tiada ada yang berlaku dan selepas senyap seketika, isu belia India dalam kegiatan samseng hangat diperkatakan semula selepas beberapa kes tembakan yang melibatkan belia India. Tetapi, persoalan sekarang adalah kenapakah dan apakah punca belia India terlibat dalam kegiatan samseng ini? Matmerapu merumuskan bahawa terdapat tiga faktor utama dikenalpasti menjadi punca utama belia India banyak terlibat dalam kegiatan samseng. Ekonomi dan sosial merupakan salah satu faktor yang memberi impak yang besar kepada kaum tersebut untuk membabitkan diri dalam kongsi gelap. Menjadi masyarakat minoriti, belia India kerap diasing atau dipinggir daripada pembangunan nasional oleh kerajaan menyebabkan mereka aktif dalam samseng. Kebanyakan belia India yang aktif dalam kongsi gelap membuat ‘kerja’ seperti kutip hutang, peras ugut, tarik kereta dan sindiket dadah. Terdapat juga sekumpulan kecil melibatkan diri dalam penculikan, rompakan bank dan pembunuh upahan. Hasil pendapatan yang lumayan menjadi sebab utama mereka meneruskan kegiatan yang kejam ini walaupun hukuman yang sangat berat. Tetapi, keiginan untuk hidup mewah melalaikan mereka. Kebanyakan India yang terlibat dalam kegiatan yang memberi pendapatan yang tinggi walaupun salah disisi undang-undang berasal daripada keluarga serba kekurangan. Mereka lahir dalam keadaan tahap ekonomi yang rendah dan serba-serbi kekurangan mengakibatkan mereka tiada sistem sosial atau kerajaan yang sokong untuk kejayaan mereka. Kedudukan ekonomi mereka itulah yang memaksa mudah terjebak dengan kegiatan samseng. Jadi, mereka mencari kerja yang boleh membawa kehidupan yang mewah dalam masa yang terdekat. Dalam pada itu, ingin menjadi popular di kalangan masyarakat dan rakan adalah faktor kedua membawa belia India ke sarang kongsi gelap. Pelajar sekolah yang tertarik dengan filem-filem Bollywood memutus untuk menjadi ahli kongsi gelap supaya dihormati dan digeruni oleh rakan-rakanya. Bukan sahaja lelaki, malah perempuan juga menyertai dalam kongsi gelap atas sebab ini yang boleh dikatakan sebagai ‘minat sendiri’. Ada juga segelintir kecil belia India menyertai kongsi gelap kerana dipaksa oleh rakan atau takut dengan ahli-ahli kongsi gelap yang lain. Kalangan kumpulan ini perlu diberi perhatian oleh pihak sekolah dan polis untuk membantu mereka keluar daripada kongsi gelap.

Jangan Biarkan Melayu Terus Dilanda Masalah........!!!

Persoalan minda dan watak Melayu telah berbangkit sejak sekian lama. Munsyi Abdullah umpamanya mengaitkan Melayu dengan beberapa sifat yang negatif. Melayu mempunyai watak yang malas, suka bercinta, suka membuang masa, suka bertangguh, tidak menepati waktu dan lain-lain. Tokoh pembaharuan Syed Sheikh al Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin melihat dari sudut agama bahawa orang Melayu suka melakukan khurafat dan memiliki tabiat taklid yang negatif. Pendeta Zaaba, seorang cendekiawan Melayu yang disegani juga melakukan kritikan terhadap bangsanya. Dalam tulisannya majalah Qalam (Bil.19:1952) beliau menyebutkan: “Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatihkan dirinya menjadi peminta sedekah. Maka tidaklah ia akan sampai ke mana dalam pekerjaan mencapai ketinggian dan kejayaan. Bahkan jikalau dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya, kerana iaitu bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri, hanya dapat dengan pertolongan orang jua. Maka perangai suka meminta tolong saja itu – walaupun meminta tolong kepada Allah Taala padahal kita sendiri tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya – sangatlah tidak betul kepada ajaran Islam.” Apa yang disebut oleh Zaaba itu amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris. Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan bisnes, penerokaan dalam bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan dan kekuatan peribadi yang terbabit dengannya. Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari kambing hitam dalam jalan keluar daripada masalah. Malah ada kecenderungan yang amat aktif dalam kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah yang serius dan menyentuh mengenai jati diri dan kekuatan umat Melayu itu sendiri. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Hingga ada sebilangan orang Melayu berpendapat bahawa menaja kegiatan hiburan yang sifatnya melampau adalah tidak salah, malah ia adalah sumber bisnes. Bayangkan kerosakan peribadi dan akhlak akibat daripada hiburan yang melampau telah memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jati diri generasi muda. Kerosakan yang berlaku tidak tertampung dengan pulangan kewangan yang diterima.Masalah penyalahgunaan dadah sudah mencapai paras tertinggi melepasi sejuta orang. Lebih 70 peratus adalah generasi muda Melayu. Pusat Serenti terpaksa menampung jumlah yang semakin meningkat. Di universiti jumlah kemasukan lelaki muda Melayu semakin berkurang. Bayangkan corak modal insan yang bakal lahir pada masa depan. Kurangnya masa yang berkualiti yang diberikan oleh ibu bapa terhadap hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak menyebabkan anak rasa terbiar, kekosongan dan kelompangan. Keciciran anak Melayu sedang berlaku sejak awal umur lagi, sedangkan tempoh sejak dalam perut ibu hingga akil baligh adalah tempoh yang amat kritikal pendidikan anak seharusnya berlaku. Apabila anak tercicir di rumah tidak ada jaminan sekolah bakal mengatasi masalah mereka. Tabiat anak yang tercicir akan berterusan di sekolah dan bakal lebih parah lagi apabila berada di tengah-tengah masyarakat. Ibu bapa Melayu harus memikul tanggungjawab menguruskan anak dengan penuh keinsafan. Dengan siapa anak berkawan, membiarkan anak secara bebas lepas di kafe siber, tidak bertanya mengapa lewat pulang, membiarkan anak terbabit dalam kegiatan antisosial seperti ‘mat rempit’, membiarkan bahan media cetak dan elektronik yang merangsang nafsu dan minda berada di dalam rumah tanpa kawalan adalah antara faktor yang menjinakkan remaja dan generasi muda Melayu kepada jerat yang bakal menjebak mereka ke arah hidup yang bermasalah. Pihak di luar keluarga harus turut sama membantu. Sekiranya kelemahan pengurusan keluarga tidak dibantu oleh sekolah atau agensi yang menyumbang ke arah pembangunan generasi muda, maka orang Melayu akan terus menerus menghadapi masalah. Masalah yang sedia ada sudah semakin parah.....!!!

Tujuh Sikap Wanita Dengan Melihat Cara Berjalan........!!!???

Pertama. Kelihatan Seperti Tidak Memijak Tanah:Golongan wanita yang jalannya berginjat, wanita ini kononnya bersifat tidak jujur, mulutnya laser dan menyinggung perasaan orang lain terutamanya ketika berbual. Dia juga dikatakan terkenal dengan sikap egonya. Dan yang lebih parah, wanita ini biasanya seorang yang boros atau suka membazir tanpa berfikir sebelum berbelanja. Tapi jangan berkecil hati, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki. Kedua. Sering Menoleh Ke Kanan Dan Kiri: Wanita yang berjalan seperti ini biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun ramai yang menganggap wanita yang berjalan seperti ini tidak jujur, suka menipu teman sendiri, dan merugikan teman bualnya, namun, ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hatinya. Kononnya wanita seperti ini senang diatur dan diuruskan.Ketiga. Suka Menunduk: Wanita seperti ini katanya memiliki sifat yang tertutup. Dia hanya akan berbual dengan orang-orang yang rapat dengannya dan boleh dipercayai. Wanita seperti ini biasanya sukar untuk ditawan hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan percintaan. Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hatinya, dijamin lelaki itu akan beroleh kebahagiaan. Ini kerana, wanita jenis ini sangat setia, dan dia tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya.Keempat. Berjalan Menatap Lurus Ke Depan:Mereka yang berjalan seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh, dan bukannya mudah hendak menggoncangkan imannya. Jangan sekali-sekali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu mendengar dia berleter panjang lebar. Meskipun pendiriannya teguh, tapi dia selalu berselisih pendapat. Jadi tidak hairanlah kalau wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang berpengalaman luas.Kelima. Badan Bergerak ke Kanan dan Kiri:Wanita yang berjalan dengan gaya yang sedemikian selalunya bersikap tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, dia menganggap itu sebagai perkara kecil. Walhal masalah itu sebenarnya agak rumit dan memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Kerana sifatnya yang suka ambil mudah ini, banyak persoalan yang akhirnya tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan dirinya sendiri.Keenam. Badan Nampak Tegak:Wanita ini tegas dalam menentukan sesuatu. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampur oleh orang lain. Gaya bicaranya selalu serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Dan yang menarik tentang wanita ini, dia bertanggungjawap terhadap apa yang pernah dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa menghilangkan sifat-sifat romantiknya.Ketujuh. Berjalan seperti Zirafah: Maksudnya, ketika melangkahkan kaki, badannya kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini sangat lemah perasaannya. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika berbual dengan wanita seperti ini sedikit sebnayak kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata. Panduan ini bukanlah semata mata hanya berguna untuk lelaki tapi boleh juga dijadikan peringatan kepada wanita wanita di luar agar berjalan dengan sopan. Macam biasa, tip ini hanya panduan bukan semestinya betul dan setiap individu adalah berlainan. Sekian. Wallahualam

Monday, 6 January 2014

Patutkah Politik Dicampur Agama........!!!???

Ada pihak yang bertanya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul. Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat. Rentetan dari itu juga ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran kristian. Samada kita bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain, tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat bukan bertujuan agama. Sebaliknya, bertujuan kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia. Memakai kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata: “Nabi s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu –ketika itu- orang ramai pun turut menanggalkannya. Nabi s.a.w bertanya: “Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?”. Mereka menjawab: “Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan”. Nabi s.a.w bersabda: “Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran”. Dalam riwayat Ibn Khuzaimah ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya” Ertinya, bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik. Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu. Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu. Topeng vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! V for Vendetta adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982. Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk ‘V for Vendetta’. Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkers dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605. Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara. Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik. Cuma, sebenarnya bukan isu kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan. Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur agama. Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan kristianisasi, hinduisisasi ataupun seumpamanya. Demikian juga sama apabila ada pihak yang mengharamkan muslim menyertai parti musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam. Namun kemudiannya membolehkan muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka. Semua hukum yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik. Percampuran antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki Allah dan RasulNya, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang merosakkan agama Allah dan rasulNya. Ia semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu. Jika dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah maka itu membawa kepada kebaikan. Namun, jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNya. Agama hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik. Dalam sejarah Kristian ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik. Umpamanya dalam isu penjualan indulgences atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik. Demikian juga isu purgatory, relics, saints dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup. Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai. Demikian tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian Martin Luther (1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup. Golongan politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama bersama mereka. Inilah hasil apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan. Di negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so called’ agamawan yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan. Persoalannya, apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan – ataupun menteri- ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka? Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh. Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa senjata. Dalam konteks hari ini, apakah bughah rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara? Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa? Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah. Matmerapu tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan. Politik Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam. Sekali lagi Matmerapu nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah: “Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.. bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.”